DEMONTRASI disusuli praktikal oleh peserta bengkel.
DEMONTRASI disusuli praktikal oleh peserta bengkel.
Nurul Husna Mahmud

nurul

TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2016 mendapati lebih 80.5 peratus kecederaan kerap berlaku membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Malaysia adalah berlaku di rumah.

Dari luka biasa, melecur sehingga patah tangan antara kecederaan yang lazim dialami kanak-kanak.

Meskipun kecederaan itu sudah biasa berlaku, namun pengetahuan ibu bapa berkaitan pertolongan cemas masih kurang dan situasi itu boleh menjejaskan kecederaan si anak.

Atas faktor jarang dipraktikkan dan kurangnya bengkel berkaitan dianjurkan pihak tertentu menjadikan pengetahuan mengenai pertolongan cemas dalam kalangan ibu bapa di Malaysia masih rendah.

Hal itu diakui Dayangku Nur Haslina Awangku Hidup, 34, yang hadir dalam bengkel pertolongan cemas anjuran Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway, Selangor.

Kata ibu dua cahaya mata berusia enam dan tujuh bulan itu, program atau kursus pertolongan cemas membabitkan ibu bapa jarang dianjurkan.

"Kursus pertolongan cemas sangat penting terutama kepada ibu bapa yang baru memiliki anak.

"Risiko bayi tercekik, lemas atau cedera lebih tinggi kerana ibu bapa tiada pengetahuan berkaitan pertolongan cemas.

"Saya sendiri walaupun ada asas, tetapi untuk amalkan atau gunakan dalam keadaan kecemasan, tiada keyakinan.

"Bengkel pertolongan cemas seperti ini wajar dianjurkan lebih banyak supaya lebih ramai ibu bapa dapat mempelajari menangani anak mereka ketika cedera," katanya.

Tambah Dayangku Nurhaslina, dalam bengkel dihadiri itu, dia berpeluang belajar memberi resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan betul pada kanak-kanak, mengendali bayi tercekik, mengendali kecederaan patah anggota badan dan persiapan kotak pertolongan cemas.

Bagi S Thilagavathy, 41, dari Alam Impian, Shah Alam, Selangor yang hadir bersama dua anaknya berharap lebih ramai ibu bapa berpeluang menyertai bengkel seumpama itu.

"Saya yang bertugas sebagai jururawat apabila anak sendiri melecur juga cemas, inikan pula ibu bapa yang tiada pengetahuan.

"Saya setiap hari merawat pesakit sekurang-kurangnya tahu apa yang perlu lakukan dalam situasi itu.

"Seperti lalukan air pada luka melecur dan tidak menggunakan ubat gigi pada luka terbabit.

PELANCARAN e-buku Pertolongan Cemas Pediatrik.
PELANCARAN e-buku Pertolongan Cemas Pediatrik.

"Kesimpulannya, pengetahuan pertolongan cemas ini yang membuatkan ibu bapa tidak mengambil langkah yang salah dalam mengendali luka atau kecederaan anak," katanya.

Kata Thilagavathy, dia tertarik dengan bengkel pertolongan cemas kerana fokusnya lebih kepada kanak-kanak dan bayi.

"Dalam kes kemalangan atau kecederaan membabitkan kanak-kanak, tekniknya berbeza dengan mangsa dewasa.

"Di sini ibu bapa dapat panduan betul dan anak juga boleh mempelajari mengenai pertolongan cemas," katanya.

Manakala Yok Pek Yeng, 44, berkata, bengkel pertolongan cemas dengan pendekatan mesra kanak-kanak seumpama ini perlu diteruskan.

"Kanak-kanak juga boleh pelajari dan memahami kepentingan pertolongan cemas.

"Pada hari ini apabila mereka boleh turut serta dalam bengkel pertolongan cemas, ia menjadi pembelajaran yang menarik dan berguna.

"Bagi saya modul disediakan sangat relevan terutama modul CPR dan merawat kecederaan patah. Saya ada dua anak sedang membesar serta aktif.

"Bengkel ini mempersiapkan saya menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku kemalangan di rumah membabitkan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Dr Seow Vei Ken berkata, penganjuran bengkel itu diadakan bersempena pelancaran e-buku Pertolongan Cemas Pediatrik.

"Bengkel hari ini adalah sebahagian daripada pengisian yang ada dalam e-buku Pertolongan Cemas Pediatrik dilancarkan Sunway Healthcare Group.

"Ibu bapa dan kanak-kanak akan belajar teknik betul ketika terhadap situasi kecemasan. Ada empat stesen dengan setiap stesen terbabit diketuai doktor," katanya.

Kolaborasi antara Jabatan Kemalangan & Kecemasan (A&E) Kanak-Kanak Pusat Perubatan Sunway dan Kelab Kanak-Kanak SunMed turut menyaksikan penyertaan lebih daripada 150 peserta dari kalangan ibu bapa dan anak-anak mereka.

"Sunway Healthcare Group komited memperkasakan peranan ibu bapa dan masyarakat, untuk sama berganding bahu memastikan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:00 AM