ORANG ramai perlu didedahkan ilmu pengetahuan penjagaan kesihatan yang mampu menyelamatkan nyawa orang tersayang.
ORANG ramai perlu didedahkan ilmu pengetahuan penjagaan kesihatan yang mampu menyelamatkan nyawa orang tersayang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Tahukah anda 59 peratus kematian akibat kecederaan ketika kecemasan boleh dihindari jika langkah pertolongan cemas diberi lebih awal?

Kecemasan sering berlaku secara tiba-tiba, meninggalkan sedikit ruang dan masa untuk kita teragak-agak untuk bertindak.

Walaupun tidak semua orang ada ilmu penjagaan kesihatan namun penting untuk kita lengkapkan diri dengan pengetahuan melakukan langkah pertolongan cemas bagi menghadapi situasi kecemasan.

Selain itu, kita sudah terbiasa dengan talian kecemasan 999 namun berapa ramaikah yang tahu nombor jabatan kecemasan hospital terdekat apabila berlakunya kecemasan perubatan?

Di saat-saat genting, masa amatberharga untuk menyelamatkan nyawa.

Justeru, dalam usaha menangani isu berkenaan dan untuk memberi kesedaran lebih tinggi dalam kalangan masyarakat, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) melancarkan kempen untuk memperkasa masyarakat.

Kempen 'Save a Number, Save a Life' itu mendedahkan masyarakat mengenai kepentingan mengetahui nombor jabatan kecemasan institusi penjagaan kesihatan yang terdekat dengan mereka.

Menerusi objektif untuk memupuk budaya kesiapsiagaan, kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan ilmu pengetahuan penting berkenaan pengurusan kecemasan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV, Susan Cheow berkata, pihaknya berusaha untuk menjadi tonggak sokongan untuk orang ramai dan sedia membantu pada bila-bila masa dan di mana sahaja ketika diperlukan.

Kata Susan, walaupun nombor kecemasan hospital mungkin tidak sentiasa berada di fikiran atau dijadikan keutamaan, pihaknya menyedari bahawa memberikan maklumat penting ketika berdepan situasi kecemasan dan menjadikannya mudah diakses adalah mustahak.

"Ia bagi membolehkan orang ramai tahu apa yang perlu dilakukan mereka sementara menunggu ambulans sampai.

"Kempen ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memberi orang ramai ilmu pengetahuan penjagaan kesihatan yang mampu menyelamatkan nyawa orang tersayang mereka," katanya.

Dalam pada itu, untuk memupuk kesedaran lebih tinggi, sebuah trak mudah alih 'Save a Number, Save a Life' akan bergerak di pelbagai komuniti dan kejiranan di sekitar Kuala Lumpur untuk memberikan maklumat lanjut mengenai kempen berkenaan.

Pusat perubatan terbabit juga akan memperkenal aplikasi web kempen yang akan menerangkan dengan lebih lanjut objektif kempen dan E-Buku Pertolongan Cemas mengandungi tip dan nasihat penting ketika berdepan kecemasan perubatan.

Sementara itu, jika anda mengesyaki seseorang itu diserang angin ahmar (strok), bertindak segera dan minta pertolongan kecemasan.

Anda boleh mengingati singkatan BEFAST dan minta pertolongan perubatan (di talian 999 atau hospital berdekatan) jika mengalami satu simptom atau lebih.

BEFAST adalah singkatan daripada keseimbangan (balance), mata (eyes), wajah (facial), tangan (arm), pertuturan (speech) dan masa (time).

Perhatikan tanda keseimbangan, kesukaran untuk mengimbangkan badan atau sakit kepala teruk secara tiba-tiba.

Penglihatan individu diserang strok juga kabur dan periksa petanda lemah otot wajah atau rasa kebas.

Periksa juga petanda lemah otot tangan, kehilangan keseimbangan atau kekurangan koordinasi.

Perhatikan juga jika pertuturan individu berkenaan tidak jelas atau sukar untuk memahami pertuturannya.

Apapun, jangan lupa catat masa ketika seseorang itu pertama kali mengalami simptom strok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 6:46 AM