HELIZA menyantuni kanak-kanak di Turki yang juga mangsa gempa bumi baru-baru ini.
HELIZA menyantuni kanak-kanak di Turki yang juga mangsa gempa bumi baru-baru ini.
HELIZA dan Hazwani ketika menyediakan makanan untuk golongan pelarian di Turki.
HELIZA dan Hazwani ketika menyediakan makanan untuk golongan pelarian di Turki.
Muhammad Saufi Hassan


PERNAH menyorok di dalam liang lahad kerana dikejar tentera musuh ketika misi bantuan kemanusiaan di negara Timur Tengah menjadi antara pengalaman paling mencemaskan buat dua 'wanita besi' ini.

Dua beradik ini boleh dikatakan pelopor awal dalam pembabitan wanita menyertai misi kemanusiaan di negara-negara bergolak sekali gus menjadi pembakar inspirasi untuk wanita lain.

Wanita ini, Heliza Helmi, 38, bersama adiknya, Hazwani Helmi, 27, tidak pernah berputus asa walaupun pernah berdepan dengan situasi nyawa di hujung tanduk tatkala berada di negara bergolak.

Umpama alah bisa tegal biasa, dua beradik ini disifatkan sebagai 'otai' dalam misi kemanusiaan tidak mengira tempat, namun tetap mengakui setiap misi cabarannya berbeza.

Misi kemanusiaan khususnya di negara bergolak sememangnya memerlukan keupayaan fizikal dan rohani yang kuat kerana ia umpama pergi 'menyerah nyawa' sambil membantu umat Islam yang memerlukan di sana.

Bagaimanapun, bagi Heliza dan Hazwani, kemanisan setiap misi kemanusiaan itu berbeza dan setiap daripadanya mempunyai pengajaran serta teladan yang boleh diambil serta dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Heliza berkata, walaupun sudah beberapa kali pergi ke sesuatu tempat, cabarannya tetap ada khususnya untuk wanita dalam menjaga aurat di tempat yang bergolak.

"Terdapat pelbagai kisah dan pengalaman yang diperoleh ketika menyertai misi kemanusiaan, khususnya ketika menyantuni golongan yang memerlukan.

HELIZA serta adiknya, Hazwani ketika menyertai misi kemanusiaan di beberapa negara khususnya di negara bergolak di Timur Tengah.
HELIZA serta adiknya, Hazwani ketika menyertai misi kemanusiaan di beberapa negara khususnya di negara bergolak di Timur Tengah.

"Pastinya, kita tidak boleh lari daripada perasaan sedih tatkala melihat ada insan yang hidup serba kekurangan, jauh lebih kekurangan berbanding dengan kita dan ketika itu, kita akan bermuhasabah berkenaan kehidupan kita sendiri.

"Sebagai aktivis kemanusiaan, kita perlu cergas bukan saja untuk fizikal sebaliknya mental, rohani serta jasmani kerana setiap kali kita keluar misi, kita perlu korbankan masa tidur, masa rehat dan memperuntukkan masa demi menjayakan misi," katanya.

Bagi Hazwani pula, bergelar seorang wanita tidak pernah menghalang untuk menyertai misi bantuan namun terdapat beberapa 'keadaan' yang perlu berkompromi.

"Selalunya kalau wanita, mesti mahu memakai pakaian sedondon, mahu pakaian dengan warna yang cantik-cantik, namun jika kita pergi ke mana-mana misi, warna gelap adalah yang terbaik kerana tidak mahu menarik perhatian orang lain.

BERDEPAN dengan detik cemas tidak pernah menghalang dua beradik ini untuk meneruskan sumbangan dalam kerja kebajikan merentasi sempadan.
BERDEPAN dengan detik cemas tidak pernah menghalang dua beradik ini untuk meneruskan sumbangan dalam kerja kebajikan merentasi sempadan.

"Sebagai seorang muslimah juga, pemakaian sangat dititik beratkan supaya tidak ketat, menutup keseluruhan aurat khususnya jika kita pergi ke negara bergolak seperti di Timur Tengah, perlu sesuaikan dengan keadaan di sana," katanya.

Menceritakan semula pengalamannya, Hazwani berkata, ketika melaksanakan misi kemanusiaan susulan bencana gempa bumi di Palu, Indonesia, sukarelawan terpaksa tidur tanpa tilam yang empuk manakala aktivis wanita tidur dengan memakai tudung kerana jika berlaku apa-apa, aurat masih terjaga.

Katanya, situasi berkenaan sememangnya mencabar kerana perlu berwaspada sentiasa jika ada gempa bumi susulan daripada bencana berkenaan.

"Pergi ke misi kemanusiaan bukan hanya menyampaikan bantuan, tetapi kita ada banyak tugasan antaranya perlu merakam gambar atau video supaya bahan itu boleh disebarkan kepada masyarakat umum," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja kemanusiaan tidak pernah menghalang wanita untuk turut serta membantu dengan memenuhi adab serta ketetapan yang sudah digariskan oleh syarak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 6:20 AM