ANNA wanita berketurunan Jepun yang kini berhijrah ke Malaysia.
ANNA wanita berketurunan Jepun yang kini berhijrah ke Malaysia.
Hafiz Ithnin


'Wo ai ni, I love you, Aku cinta padamu,' adalah tiga ungkapan kata paling bermakna.

Tapi, jarang didengar, 'Naan unnai,' 'Kathalikaraen,' 'Saranghaeyo' dan 'Aishiteru' iaitu tiga ungkapan kata paling mengusik hati.

Itu juga antara bait-bait lagu Tiga Kata dari kumpulan KRU yang menyuntik keinginan wanita berketurunan Jepun ini belajar Bahasa Malaysia.

Anna Tanaka, 29, atau nama Islamnya, Farhana berhijrah ke Malaysia sejak 2019 selepas berkahwin dengan suami, Mohd Norfaizad Farhan Norhashimi, 32.

Dia mengakui pada awalnya agak sukar mempelajari Bahasa Malaysia, tetapi dengan adanya lagu menarik tempatan menjadikannya lebih mudah mempelajari bahasa di negara ini.

Kini Anna begitu fasih bertutur dalam bahasa tempatan dan menjadi tarikan warga maya untuk mendengar celotehnya yang kadangkala ada pelat dalam Bahasa Jepun.

Sebenarnya ibu seorang cahaya mata ini mempunyai kisah menarik tersendiri ketika mula-mula berkenalan dengan suami kerana mereka hanya bercinta secara jarak jauh.

BERSAMA keluarga kecilnya.
BERSAMA keluarga kecilnya.

Mereka berkenalan di Facebook pada 2012 sehingga pada 2015 baru kali pertama berjumpa secara fizikal apabila Mohd Norfaizad datang ke Nara, Jepun untuk bertemu dengannya.

Anna berkata, dia tertarik dengan suaminya kerana mempunyai perwatakan lelaki yang baik dan memahami meskipun belum pernah berjumpa secara empat mata.

"Ketika saya mula berkawan dengan suami saya mempunyai teman lelaki. Namun, saya mempunyai masalah dalam hubungan percintaan dengannya.

"Jadi, ketika itu saya banyak bercerita kepada suami mengenai hal itu. Selepas saya memutuskan hubungan dengan bekas teman lelaki, perasaan saya semakin dekat dengannya," katanya.

Katanya, sejak hubungan mereka menjadi serius, suaminya itu memberanikan diri berjumpa keluarga pada 2018.

"Saya masih ingat kali pertama suami datang berjumpa ibu bapa saya, mereka katakan suami terlalu kurus dan lemah.

"Mereka juga meletakkan syarat untuk berkahwin, saya sekeluarga perlu berjumpa dan mengetahui segala-galanya mengenai keluarga suami di Malaysia. Akhirnya kami ke Malaysia dan berjumpa keluarga mentua dan mereka amat mesra," katanya.

Katanya, antara perkara yang menarik perhatian mereka sekeluarga ketika itu adalah sikap ramah dan kehidupan kampung suaminya yang terletak di Perlis.

"Ketika kedua-dua keluarga berjumpa, ibu mentua saya tidak boleh berbahasa Inggeris, namun arwah bapa mentua pula guru Bahasa Inggeris yang menjadi penterjemah jika ingin berkomunikasi.

"Ibu dan bapa saya pula menggunakan khidmat saya untuk berkomunikasi dengan ibu serta bapa suami. Antara perkara yang menarik ialah kampung di Perlis yang amat tenang. Jadi, bermula dari situ kami memutuskan untuk berkahwin," katanya.

ANNA bersama keluarga mentua di Perlis.
ANNA bersama keluarga mentua di Perlis.

Katanya, dia memeluk Islam sebelum membuat keputusan berkahwin kerana di Nara dia mempunyai kawan-kawan dari Malaysia yang beragama Islam.

"Di Nara ada orang Malaysia yang bekerja dan belajar. Mereka mempunyai sikap yang baik membuatkan saya jatuh hati dengan Islam.

"Saya memeluk Islam pada 2016 di Jepun dan sebelum itu lagi, saya sudah berlatih memakai tudung. Suami dan rakan-rakan menjadi rujukan mengenai agama ini. Pada 2019 ketika berkahwin saya sudah pun beragama Islam," katanya.

Bercerita mengenai situasi fasih berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia katanya, dia banyak belajar daripada lagu tempatan.

"Saya bertanya kepada suami maksud lagu itu manakala suami pula belajar Bahasa Jepun juga menerusi lagu dan saya pula menjadi rujukannya.

"Kini saya meminati lagu Kugiran Masdo. Setiap hari saya mendengarnya sehinggakan suami bosan kerana dia meminati lagu Jepun," ceritanya sambil tertawa.

Katanya, sejak berhijrah ke Malaysia dia amat mencintai negara ini kerana masyarakatnya pelbagai kaum, tetapi mampu hidup harmoni, mudah untuk mendapatkan makanan halal dan fesyen Muslimah yang pelbagai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 7:03 AM