LIMA ratu cantik daripada Ratu Wanita Malaya memperagakan baju kebaya.  - FOTO Azhar Ramli
LIMA ratu cantik daripada Ratu Wanita Malaya memperagakan baju kebaya. - FOTO Azhar Ramli
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SERAMAI 500 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei menyertai Pertandingan Rekaan Warisan Kebaya (KHDC).

Pertandingan dianjurkan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Budaya Dunia 2023 (ICWC '23) yang menekankan sejarah kebaya dari perkembangan awal serta pengaruh politik dari 1910 hingga kini.

Inisiatif ini bertujuan memaparkan kepelbagaian reka bentuk kebaya daripada pelbagai negara serta mempromosi pelancongan kebudayaan dan memelihara busana tradisional itu untuk generasi akan datang.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya (Motac) Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, peserta dari Asia Tenggara itu menjadikan kebaya tersenarai dalam warisan budaya tidak ketara Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun akan datang.

Menurutnya, pertandingan ini menonjolkan kreativiti dan keaslian yang ditunjukkan pereka dengan menggunakan kain serta benang.

"Rekaan itu dihakimi berdasarkan ciri-ciri kebudayaan dan keaslian. Markah diberikan pada rekaan yang memaparkan keunikan negara masing-masing.

"Walaupun ini hanya satu pertandingan, namun ia menunjukkan kepelbagaian seni dan budaya. Kebaya melambangkan keanggunan, kelembutan, kekuatan serta tradisi.

"Pertandingan ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebaya dan mengapa ia perlu dipelihara," katanya ketika merasmikan Pelancaran Pertandingan Rekaan Warisan Kebaya (KHDC) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, KHDC dijangka memberi kesan berpanjangan kepada masyarakat dan impak positif terhadap ekonomi.

RATU cantik diundang memperagakan baju kebaya. - FOTO Azhar Ramli
RATU cantik diundang memperagakan baju kebaya. - FOTO Azhar Ramli

KHAIRUL Firdaus (enam dari kiri) dan Azmi (empat dari kiri) selepas pelancaran KHDC. - FOTO Azhar Ramli
KHAIRUL Firdaus (enam dari kiri) dan Azmi (empat dari kiri) selepas pelancaran KHDC. - FOTO Azhar Ramli

"Pertandingan ini bukan sahaja menunjukkan inisiatif kerjasama dengan negara jiran demi mengukuhkan hubungan dua hala.Ia turut meningkatkan kesedaran budaya, potensi perniagaan dan rangkaian merentasi rantau.

"Sebagai tuan rumah KHDC, saya berbangga kerana kita semua bersatu di bawah satu bumbung untuk mencapai matlamat mengiktiraf kepentingan budaya kebaya dan melindunginya.

"Saya menghargai semua yang mengambil bahagian dalam KHDC kerana ia meluaskan lagi jaringan bagi pasaran pelancongan, kesenian dan budaya Malaysia.

"Kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam usaha menjadikan kebaya sebagai aset kebudayaan untuk Unesco," katanya.

Sementara itu, Presiden ICWC, Azmi Mustapha berkata, pihaknya yakin dapat menekankan kepentingan memelihara, melindungi warisan Malaysia dan memberi impak positif kepada generasi muda.

"KHDC menjadi platform memaparkan keunikan gaya dan rekaan kebaya dari perspektif berlainan budaya.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dapat bekerjasama dengan rakan negara lain yang memberi aspirasi untuk mencapai matlamat sama iaitu mewujudkan persekitaran budaya lebih baik kepada generasi akan datang," katanya.

Azmi berkata, peserta menyertai pertandingan ini mendaftar pada 15 Jun lalu dan menghantar lakaran rekaan mereka sebelum 30 Julai ini.

Jelasnya, seramai 50 finalis memaparkan rekaan kebaya mereka di ICWC pada awal September depan bersama butiran persembahan, maklumat dan kepentingan budaya yang membawa kepada rekaan akhir.

"Untuk pusingan akhir, seramai 25 finalis menyertai Majlis Makan Malam Gala ICWC pada 9 September depan untuk acara pertunjukan fesyen dan penyampaian anugerah bagi mengumumkan tiga pemenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 6:43 AM