ANNIKETYNI terjemah cerita rakyat melalui penghasilan arca kayu turut selit elemen corak pua kumbu.
ANNIKETYNI terjemah cerita rakyat melalui penghasilan arca kayu turut selit elemen corak pua kumbu.
Muhamaad Razis Ismail


MELIHAT 15 arca yang mengetengahkan cerita dongeng rakyat membabitkan pelbagai etnik di Sarawak boleh membuatkan sesiapa sahaja terpegun dengan karya seni ini.

Kebiasaannya, cerita dongeng rakyat ini disampaikan secara lisan, namun Anniketyni Madian, 37, atau lebih mesra disapa Anni berjaya menterjemahkannya melalui penghasilan arca kayu yang digabung dengan material lain melalui pameran solonya bertajuk Susey pada Februari lalu yang ditaja Sime Darby Property, CIMB, Yayasan Hasanah dan Balai Seni Visual Negara

Ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menyelitkan elemen corak pua kumbu yang menjadi identitinya dalam setiap karya yang dihasilkan sejak menceburi bidang itu pada 2008.

Lebih menarik, idea untuk menghasilkan semua karya ini dilakukan ketika dia berpantang anak pertamanya tiga tahun lalu.

Deretan pameran, simposium dan anugerah yang diperoleh sejak terbabit dalam bidang itu, membuktikan kemampuan wanita dalam bidang itu.

Anni berkata, untuk sampai ke tahap ini bukan satu perjalanan mudah kerana dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran yang mematangkan dirinya sebagai anak seni.

Katanya, minat mendalam terhadap penghasilan arca memberi kekuatan kepadanya untuk terus bertahan dalam bidang seni sehingga hari ini.

"Pendedahan awal terhadap bidang ini bermula daripada bapa yang pandai bertukang di rumah. Sejak itu, minat terhadap seni pertukangan tercetus sehingga saya mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Biarpun pada ketika itu dihalang ayah, namun saya tetap teruskan untuk merealisasikan impian menjadi pengarca. Saya tidak salahkan ayah kerana dia bimbang pada ketika itu peluang kerjaya dalam bidang seni masih kurang.

"Alhamdulillah selepas menempuh pelbagai cabaran yang panjang dan sukar, saya membuktikan kemampuan diri sehingga berjaya mencipta nama di dalam serta luar negara dalam bidang ini," katanya.

MENYERTAI simposium arca di Aparan, Armenia.
MENYERTAI simposium arca di Aparan, Armenia.

Akuinya di awal pembabitannya tidak ramai wanita menceburi bidang itu kerana pekerjaan ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

Katanya, selepas menamatkan pengajian, dia perlu berusaha sendiri untuk dikenali termasuk bekerja sambilan di galeri seni, berkenalan dengan individu dalam bidang itu dan sebagainya.

"Pada permulaan karier, ramai memandang rendah dan meragui kemampuan diri untuk menceburi bidang didominasi lelaki. Pernah juga satu ketika saya hampir berputus asa kerana dianggap lemah.

ARCA Kisah Dayung Jenai yang dihasilkan dengan gabungan pelbagai material termasuk kayu, resin epoksi, kepingan logam dan keluli tahan karat.
ARCA Kisah Dayung Jenai yang dihasilkan dengan gabungan pelbagai material termasuk kayu, resin epoksi, kepingan logam dan keluli tahan karat.

"Namun, saya kembali bangkit dengan memberanikan diri berkelana ke luar negara. Ternyata keputusan itu mengubah diri saya menjadi lebih kuat dan kental untuk terus berkecimpung dalam bidang seni," katanya.

Mengulas lanjut, pembabitannya dalam pelbagai simposium, pameran dan residensi di luar negara banyak mengubah perspektifnya terhadap bidang terbabit.

PAMERAN solo bertajuk Susey yang dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kiri) pada Februari lalu.
PAMERAN solo bertajuk Susey yang dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kiri) pada Februari lalu.

"Apabila berada di luar negara, saya berpeluang bertemu ramai pengarca yang lebih baik dan berbakat, namun mereka menerima sesiapa sahaja dengan hati terbuka. Saya rasa sangat dialu-alukan kerana banyak peluang diberikan.

"Ia satu pengalaman yang tidak boleh diperoleh di mana-mana sekali pun dan amat mahal kerana saya perlu melalui proses itu sendiri untuk menjadi lebih kuat dari segi fizikal dan mental," katanya.

Bagaimanapun, kini dia melihat industri seni di negara ini semakin aktif apabila masyarakat termasuk individu dan korporat mula menghargai karya seni dihasilkan artis tempatan.

"Kita dapat lihat sudah banyak pendedahan diberikan dan pembabitan wanita juga semakin ramai berbanding dahulu. Malah, kesedaran untuk mengumpul karya seni tempatan juga semakin meningkat.

"Ramai ibu bapa menunjukkan minat dengan memberi kebebasan kepada anak-anak terbabit dalam bidang ini sebagai kerjaya," katanya.

PEMENANG filem pendek memegang anugerah yang dihasilkan Anni di FAO Awards 2015 yang berlangsung di Rom.
PEMENANG filem pendek memegang anugerah yang dihasilkan Anni di FAO Awards 2015 yang berlangsung di Rom.

Ditanya berkenaan pengurusan masa antara kerjaya dan keluarga, dia mengakui kini lebih berdisiplin selepas melahirkan anak pertama.

"Jika sebelum ini, saya bekerja setiap hari tanpa cuti kecuali tidak sihat sahaja. Apabila menghasilkan karya membuatkan saya 'ralit' dan berasakan tujuh hari seminggu di studio itu masih tidak mencukupi. Tidur pun hanya empat atau lima jam sehari.

"Bagaimanapun, apabila mempunyai anak, saya perlu lebih berdisiplin dengan masa. Biasanya pada hujung minggu, saya lapangkan masa untuk keluarga," katanya.

Beliau berharap lebih ramai pengarca wanita yang aktif dan berani dapat dilahirkan untuk bersama-sama memeriahkan bidang ini.

"Tidak salah jika anda jadikan individu yang sudah berjaya sebagai inspirasi dengan melihat bagaimana mereka boleh sampai ke tahap itu termasuk dari segi karakter, cara bekerja, disiplin dan tidak mudah berputus asa.

"Selain itu, saya melihat melalui kekerapan menghasilkan karya akan lebih mematangkan diri anda, sekali gus menguatkan diri terutama daripada segi mental untuk berdepan segala cabaran yang mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 7:00 AM