MELIHAT arca laut dengan lebih dekat.
MELIHAT arca laut dengan lebih dekat.
Muhamaad Razis Ismail


PULAU Langkawi, Kedah cukup dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menjadi pilihan penduduk tempatan mahupun ke luar negara.

Keunikan pulau ini sememangnya tidak boleh disangkal sehingga dinobatkan sebagai Pulau Terbaik di Asia 2022.

Terkini, pulau ini memiliki arca dasar laut berkonsepkan mitos dan lagenda Langkawi yang dilaksanakan melalui program Community Based Tourism di Pengkalan Kubang Badak, Langkawi, Kedah sebagai tarikan baharu.

Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) melancarkan program ini yang disempurnakan Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menariknya, Program Community Based Tourism, Arca Dasar Laut ini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila diiktiraf sebagai 'Most Underwater Sculptures' melalui penghasilan 14 arca.

Majlis perasmian turut menyaksikan upacara menandatangani sijil pengiktirafan MBOR.

Program Community Based Tourism, Arca Dasar Laut dianjurkan Balai Seni Negara sebagai salah satu usaha bagi memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara.

DATUK Seri Nancy bersama seniman tempatan yang menghasilkan arca dasar laut.
DATUK Seri Nancy bersama seniman tempatan yang menghasilkan arca dasar laut.

Menariknya, program ini mendapat kerjasama Marine Research Station (MARES) UiTM Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Penghasilan arca-arca yang berkonsepkan mitos dan lagenda Langkawi ini bermula pada Disember tahun lalu di Pengkalan Kubang Badak sebelum siap dilabuhkan di sekitar perairan Pulau Pasir pada 2 Jun lalu.

Arca dihasilkan sembilan seniman tempatan berpengalaman terdiri daripada Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Abdul Multhalib Musa, Ahmad Fuad Osman, Dr Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid, Low Chee Peng, Maxine Xie Xian Xin, Mohd Al Khuzairie Ali, Mohd Radzi Ismail dan Umibaizurah Mahir @ Ismail.

Sepanjang proses penghasilan arca ini, mereka turut bekerjasama dengan komuniti setempat iaitu nelayan dan operator selam skuba.

Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad berkata, arca dasar laut ini adalah elemen visual baharu dalam penciptaan kandungan dan kehebatan cerita mengenai mitos dan lagenda Langkawi hasil kerjasama pengarca dan pelukis bersama komuniti setempat.

"Menerusi reka bentuk dan bahan yang digunakan akan menjadi perumah baharu kepada ekologi marin.

"Seterusnya, ia mewujudkan jaringan kelestarian kepada kehidupan marin, komuniti setempat dan pelancongan Langkawi," katanya.

Dalam pada itu, seiring dengan matlamat untuk melestarikan industri pelancongan, seni dan budaya, Balai Seni Negara turut mengadakan program sokongan iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pembersihan Pulau Pasir dan Program Permukiman Seni Pulau Pasir di Pulau Pasir, Langkawi, Kedah selama empat hari bermula 21 Julai lalu.

ARCA dasar laut menjadi tarikan baharu di Pulau Langkawi.
ARCA dasar laut menjadi tarikan baharu di Pulau Langkawi.

Program ini menyaksikan pemenang pertandingan Bakat Muda Sezaman 2021 (BMS21) dan juga kurator-kurator BMS21 bekerjasama dalam aktiviti kesenian bagi menyemarakkan lagi kecintaan terhadap alam sekitar dan juga seni.

Selain pembersihan kawasan Pulau Pasir, antara aktiviti lain adalah aktiviti pemuliharaan alam sekitar, acara lakar diari, sesi sumbang saran, bual bicara seni, mendaki dan snorkeling (underwater sculpture discovery).

Menerusi program anjuran Balai Seni Negara, ia diharap dapat terus menyuntik semangat para artis tempatan untuk terus berkarya dan membantu komuniti setempat sekali gus mendidik masyarakat dengan memberi pendedahan berkenaan objek seni umum.

Majlis ini turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Saraya Arbi, Exco Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah Mohd Firdaus Ahmad, Pengerusi LPSVN Datuk Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:14 AM