SENTIASA jalani pemeriksaan awal untuk mengesan diabetes.
SENTIASA jalani pemeriksaan awal untuk mengesan diabetes.
Muhamaad Razis Ismail


KURANG mengambil berat penjagaan kesihatan diri antara faktor lebih ramai wanita menghidap diabetes berbanding lelaki di negara ini.

Biarpun wanita terutama dalam kalangan ibu amat mementingkan kesihatan anak, suami dan orang di sekelilingnya, namun mereka kurang memberi fokus terhadap kesihatan diri.

Menitikberatkan kesihatan diri amat penting kerana wanita adalah tonggak keluarga selain mempunyai pengaruh besar untuk menarik orang di sekelilingnya menjalani gaya hidup sihat.

Perlu diingat bahawa kajian mendapati, wanita lebih berisiko terkena diabetes dan komplikasi berbanding lelaki atas beberapa faktor termasuk jenis hormon, gaya hidup dan sebagainya.

Justeru itu tidak hairan mengapa wanita lebih ramai menghidap diabetes dan komplikasi masalah ini termasuk sakit jantung, saraf dan sebagainya.

Perunding Endokrinologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Dr Miza Hiryanti Zakaria berkata, berdasarkan statistik, kadar kelaziman masyarakat di negara ini menghidap diabetes adalah 18 peratus atau satu daripada lima individu di negara ini menghidap penyakit berkenaan.

"Jika dahulu ramai dalam kalangan lelaki menghidap kencing manis, kini trend itu berubah apabila lebih ramai wanita menghidap penyakit itu.

"Satu perkara yang menakutkan berkenaan fakta ini adalah wanita yang mendapat diabetes, mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat sakit jantung berbanding lelaki.

ELAKKAN makanan manis yang menjadi antara penyumbang kepada diabetes.
ELAKKAN makanan manis yang menjadi antara penyumbang kepada diabetes.

"Wanita yang mempunyai diabetes, mereka mendapat komplikasi lebih awal dan menjadi lebih teruk," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan wanita cukup mengambil berat kesihatan orang di sekelilingnya, namun sering mengabaikan kesihatan diri.

"Hal ini berlaku kerana mereka berdepan kekangan masa terutama yang bekerjaya dan pada masa sama menguruskan keluarga sehingga sukar membuat pemeriksaan awal terhadap kesihatan," katanya.

Katanya, ada beberapa faktor lain menyebabkan diabetes dalam kalangan wanita termasuk mempunyai hormon yang meningkatkan kadar gula dalam badan dengan mudah terutama ketika mengandung.

"Selain itu, ramai dalam kalangan wanita yang stres kerana perlu bekerja dan menguruskan keluarga menyebabkan hormon kortisol meningkat. Ini secara tidak langsung meningkatkan risiko diabetes.

LUANGKAN 30 minit sehari dengan melakukan aktiviti fizikal.
LUANGKAN 30 minit sehari dengan melakukan aktiviti fizikal.

"Berdasarkan statistik, 54.7 peratus wanita berdepan masalah kegemukan di negara ini yang turut menjadi penyumbang kepada diabetes.

"Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, wanita tergolong dalam golongan paling tidak aktif fizikal. Lebih merisaukan adalah pelajar juga termasuk dalam golongan paling tidak aktif iaitu 39 peratus.

"Mereka ini menjadi dewasa dalam tempoh 10 tahun, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes diabetes pada masa hadapan," katanya.

Jelasnya, gejala awal diabetes boleh dikesan lebih awal, namun ramai dalam kalangan wanita tidak menyedari dan malu membuat pemeriksaan.

"Antaranya adalah kerap kencing dan mudah letih. Perkara ini tidak disedari berikutan wanita menganggap ia perkara biasa kerana kerap minum air dan melakukan pelbagai tugasan.

"Selain itu, masalah keputihan dan kegatalan pada kemaluan juga antara gejala awal diabetes, namun oleh kerana malu untuk membuat pemeriksaan menyebabkan mereka mengabaikan masalah itu," katanya.

GESTATIONAL Diabetes Mellitus (GDM) berlaku dalam kalangan wanita mengandung.
GESTATIONAL Diabetes Mellitus (GDM) berlaku dalam kalangan wanita mengandung.

Beliau berkata, bagi mencegah diabetes, ia perlu bermula daripada rumah membabitkan diri sendiri dan ahli keluarga dengan menjalani gaya hidup sihat termasuk daripada segi pemilihan pemakanan sihat serta aktif melakukan aktiviti fizikal.

"Untuk terus konsisten, anda tidak boleh bersendirian dan perlukan sokongan moral daripada orang di sekeliling untuk bersama-sama menjalani gaya hidup sihat.

"Sentiasa disiplinkan diri dengan peruntukan masa sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk bersenam. Bukan sahaja baik untuk fizikal, malah memberi manfaat kepada kesihatan mental," katanya.

Tambahnya, perkara lebih penting adalah sentiasa buat pemeriksaan awal tahap kesihatan di hospital atau klinik berhampiran.

"Pemeriksaan awal ini adalah satu langkah besar supaya dapat menangani masalah diabetes dan komplikasi lain menjadi lebih serius. Pada masa sama, wanita dapat pengaruhi individu di sekelilingnya untuk mengambil langkah sama.

"Wanita memainkan peranan penting untuk menghentikan generasi akan datang daripada menghidap diabetes," katanya.

Dr Miza Hiryanti berkata, orang ramai boleh memanfaatkan Kempen For Your Sweetheart yang menyediakan pemeriksaan diabetes percuma di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara.

"Kempen ini bermula sejak 2020 untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap diabetes dengan membuat pemeriksaan secara percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 7:01 AM