BUKU lali terseliuh (ankle sprain) adalah kecederaan yang biasa berlaku ketika aktiviti bersukan.
BUKU lali terseliuh (ankle sprain) adalah kecederaan yang biasa berlaku ketika aktiviti bersukan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERSUKAN, berlari, menaiki atau menuruni tangga dan melalui jalan tidak rata antara aktiviti yang berisiko menyebabkan kecederaan di buku lali.

Risiko lebih meningkat jika seseorang itu tidak berhati-hati dan kurang memberi tumpuan terutama jika sedang menggunakan telefon bimbit.

Kecederaan di buku lali seperti terseliuh boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana-mana sahaja tanpa amaran awal.

Pakar Bedah Ortopedik, Trauma, Sendi, Kecederaan Sukan dan Tulang Belakang, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Kolonel (B) Dr Azmi Abdul Latif berkata, sendi buku lali adalah penyambung dari betis dan kaki.

Kata Dr Azmi, ada tiga tulang yang membentuk sendi buku lali iaitu tulang tibia, tulang fibular dan tulang talus.

Selain itu, ada dua sendi di buku lali iaitu sendi antara tulang tibia dan tulang talus serta sendi antara tulang tibia dan tulang fibular (distal tibiofibular joint).

"Seseorang mudah mendapat kecederaan itu apabila badan sudah penat ketika bersukan.

"Ia juga boleh berlalu apabila tidak berhati-hati ketika menaiki atau menuruni tangga serta tiada fokus ketika melangkah (menggunakan telefon bimbit)," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, apabila buku lali terseliuh (ankle sprain), sendi buku lali membengkak, sakit dan tidak stabil terutama ketika berjalan menggunakan kaki yang tercedera itu.

Jelas beliau lagi, ada tiga ligamen antara tulang fibular dan tulang talus di bahagian luar, ligamen talofibular anterior, 'calcaneofibular ligament' dan ligamen talofibular posterior.

"Sementara di bahagian dalam terdapat ligamen deltoid (superfial and deep portions).

"Peranan utama ligamen adalah untuk menstabilkan sendi," katanya

Dalam pada itu, Dr Azmi berkata, individu yang mengalami kecederaan buku lali seperti ankle sprain biasanya mengalami gred kecederaan ligamen berbeza.

Katanya, gred 1 ditafsirkan sebagai kecederaan di mana berlaku sedikit koyakan atau lebam di ligamen (contussion) antara tiga hingga lima milimeter (mm).

"Untuk gred 2 pula, individu terbabit biasanya mengalami koyakan sederhana (lima hingga 10mm) dengan stabiliti sendi.

"Manakala gred 3 adalah membabitkan koyakan ligamen sepenuhnya (10 hingga 15 mm) dan sendi juga tidak stabil," katanya.

Menurut Dr Azmi, semua kecederaan itu boleh didiagnoskan secara klinikal (melalui pemeriksaan) sama ada dengan kaedah imbasan X-ray ataupun Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Meskipun tidak separah kecederaan lain seperti patah atau retak tulang, namun jika terseliuh buku lali tidak dirawat segera, pesakit berisiko mengalami kesakitan yang berulang.

Selain itu, pesakit juga boleh mengalami gangguan sendi buku lali yang tidak stabil, senang terpelecok dan berasa sakit di bahagian berkenaan.

Tambah Dr Azmi, kaedah rawatan yang diperlukan bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami.

Katanya, gred 1 dan 2 misalnya boleh dirawat dengan rawatan ubat penahan sakit, kaedah RICE (rehat, tuam ais, balutan dan meninggikan bahagian yang tercedera) serta menjalani rawatan fisioterapi.

"Namun, pesakit yang mengalami tahap 3 perlu menjalani pembedahan untuk membaiki dan menggantikan ligamen.

"Rawatan fisioterapi juga boleh membantu mengurangkan sakit dan bengkak.

"Bagaimanapun, fisioterapi tidak boleh menyembuhkan kecederaan sendi buku lali dan ligamen," katanya.

Sementara itu, Dr Azmi menasihatkan orang ramai supaya memanaskan badan dengan secukupnya sebelum memulakan sebarang aktiviti sukan.

Ia penting untuk mengelakkan sebarang risiko kecederaan terutama membabitkan kecederaan di buku lali.

Ini kerana, tempoh untuk menyembuhkan kecederaan buku lali seperti ankle sprain boleh mengambil masa sehingga tiga bulan bergantung kepada tahan kecederaan yang dialami.

Sendi yang tidak stabil juga tidak akan pulih sepenuhnya dengan sendiri.

Kata Dr Azmi lagi, tahap kecederaan yang memerlukan rawatan pembedahan biasanya membabitkan kecederaan hingga menjadi longgar, sakit ketika berjalan atau memijak yang disebabkan kecederaan tulang rawan dalam sendi buku lali.

"Apabila ligamen yang koyak tidak di dirawat dengan segera, kecederaan boleh berulang dan sendi juga mudah terseliuh kembali.

"Meskipun sendi buku lali kelihatan stabil tetapi ia boleh tercedera jika tidak berhati-hati.

"Apa pun, segera berjumpa doktor ortopedik jika mengalami kecederaan di buku lali bagi menentukan tahap kecederaan dan kaedah rawatan yang diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:00 AM