TONGGAK utama, Ahmad Tajuddin dan Nur Hazwani kreatif menghasilkan idea rekaan yang memenuhi cita rasa penggemar tudung bawal.
TONGGAK utama, Ahmad Tajuddin dan Nur Hazwani kreatif menghasilkan idea rekaan yang memenuhi cita rasa penggemar tudung bawal.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pelbagai rekaan tudung bawal menarik untuk digayakan dalam mengangkat semangat kepahlawanan Melayu dan sempena meraikan sambutan bulan kemerdekaan. Tidak terkecuali jenama terkenal, Kekaboo.

Koleksi istimewa itu menampilkan lapan rekaan sempena Hari Merdeka iaitu cetakan penuh dan kapas berkualiti tinggi voile premium.

Apa yang menariknya, lapan isteri pahlawan Melayu yang juga srikandi terbilang iaitu Cik Nik, Cik Bai'yah, Cik Burbah, Cik Mukut, Cik Arjah, Cik Esah, Yang Chik dan Teh Mahda turut diabadikan sebagai nama koleksi berkenaan.

Menurut pengasasnya, Ahmad Tajuddin Mohamad Nor, 38, koleksi itu disediakan bagi meraikan lagi semangat kepahlawanan orang Melayu di bulan kemerdekaan selain sempena tayangan filem Mat Kilau yang kini ditayangkan di pawagam.

Kata Ahmad Tajuddin, tudung bawal berkenaan memiliki corak flora, abstrak, bendera negeri, motif songket, bunga raya dan elemen kemerdekaan.

KOLEKSI tudung bawal menarik sempena bulan kemerdekaan.
KOLEKSI tudung bawal menarik sempena bulan kemerdekaan.

Katanya, ia boleh didapati dalam bidang 45+ dan 50 iaitu saiz yang lebih besar berbanding tudung biasa di pasaran untuk dewasa dan saiz kanak-kanak.

"Koleksi Bawal Merdeka ini adalah hasil idea saya dan isteri, Nur Hazwani Abdul Zainal, 32, untuk menyemarakkan lagi semangat jati diri sebagai rakyat Malaysia.

"Sebelum ini, jenama kami mengeluarkan tudung bertema sempena situasi semasa seperti program pemberian vaksin dan Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut mendapat sambutan hangat daripada orang ramai," katanya yang turut mengeluarkan rekaan baharu setiap minggu.

Sementara itu, bagi memberi lebih pilihan, 14 rekaan tudung bawal menarik yang bertemakan setiap negeri di Malaysia turut ditampilkan.

KOLEKSI istimewa angkat semangat kepahlawanan Melayu.
KOLEKSI istimewa angkat semangat kepahlawanan Melayu.

Setiap rekaan diselitkan dengan warna dan cetakan bendera sesuatu negeri termasuk elemen unik yang dimiliki seperti wau bulan dalam warna hitam putih untuk tudung Terengganu, Menara Berkembar KLCC untuk tudung Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan merah kuning untuk tudung Selangor.

Sementara itu, Nur Hazwani yang juga pengasas bersama berkata, selain dipadatkan dengan ciri-ciri fabrik yang tidak licin, tidak luntur warnanya apabila dipakai dan dibasuh beberapa kali, pemilihan kapas voile berkualiti tinggi juga bagi memastikan pengguna lebih selesa.

Ini kerana jenama itu mementingkan ciri-ciri eksklusif bagi setiap koleksi yang dihasilkan dengan mengehadkan jumlah keluaran dan tidak akan ditambah selepas ia habis dijual.

"Ia juga bertujuan untuk membolehkan pelanggan merasai sendiri nilai eksklusif pada corak dan warna yang digayakan mereka.

"Tudung edisi terhad hanya untuk rekaan pada satu-satu masa sahaja, jadi sudah semestinya pelanggan ingin menjadikannya sebagai simpanan istimewa buat mereka," katanya.

GAYA sedondon ibu dan anak untuk meraikan lagi bulan kemerdekaan tidak lama lagi.
GAYA sedondon ibu dan anak untuk meraikan lagi bulan kemerdekaan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 6:20 AM