Fairul Asmaini Mohd Pilus


DARI tudung bawal, selendang hingga ke tudung sarung, rambang mata penulis dek penangan pelbagai pilihan rekaan tudung moden yang dihasilkan.

Bukan puluhan atau ratusan, tetapi koleksi tudung di Hijab Designers.Com kini mencecah lebih 1,645 rekaan.

Semua itu usaha Mohamad Kamal Khalid, 36, dan pasukannya yang bertungkus-lumus mengumpulkan lebih 100 pereka dari seluruh dunia untuk dihimpunkan di bawah satu bumbung.

Ia menjadi platform untuk pereka muda yang sedang meningkat berkarya dan menghasilkan rekaan sebelum pihak Mohamad Kamal menzahirkannya dalam bentuk tudung.

Menurut Mohamad Kamal, usaha itu bermula awal tahun lalu dan kini memiliki pereka dari Indonesia, Taiwan, Singapura dan Brunei Katanya, pereka berkenaan diberi kebebasan berkarya dan menghantar rekaan masing-masing.

"Antara pereka yang sentiasa tampil dengan rekaan baharu setiap minggu adalah Printdesign.Id, Fatah Design Scarf dan Mazzea Hijab (semua dari Indonesia), Raushanara (Taiwan) dan Syoorgahijab, Maz Design serta FR Design yang dihasilkan pereka negara ini.

"Rekaan pereka lain juga tidak kurang menariknya dan diminati ramai," katanya.

RONA hitam mudah disuai padan dengan pakaian.
RONA hitam mudah disuai padan dengan pakaian.

Berbeza dengan rekaan sedia ada di pasaran, rekaan tudung bawal yang dihasilkan juga boleh didapati dalam pelbagai saiz iaitu bidang 40 (kanak-kanak), bidang 45, bidang 48, bidang 50, bidang 53, bidang 55 dan paling besar bidang 58.

Manakala untuk selendang pula, dua saiz rekaan boleh dimiliki iaitu 1.8 meter (m) dan 1.35 m untuk kanak-kanak.

Dari segi corak, yang paling mendapat sambutan ketika ini adalah corak abstrak, bunga-bungaan dan 'watercolor.'

TUDUNG sarung juga menjadi pilihan ramai.
TUDUNG sarung juga menjadi pilihan ramai.

Selain itu, pilihan wanita berhijab kini juga lebih ke arah warna pastel, namun rona terang masih memiliki kelompok peminat tersendiri.

Fabrik bermutu tinggi seperti kapas voile premium, sifon babydoll, Arabian crepe, satin dan satin sutera pula menjadi pilihan kerana ia mudah digosok, lembut serta selesa untuk dipakai.

Fabrik berkenaan juga membuatkan rekaan tudung 'menjadi'

terletak dengan cantik di wajah pemakai.

RONA pastel menyerlahkan lagi penampilan menawan wanita.
RONA pastel menyerlahkan lagi penampilan menawan wanita.

Menurut Mohamad Kamal lagi, apabila menerima tempahan baru kilangnya mengeluarkan tudung.

"Kami mahu menyediakan koleksi tudung yang sesuai untuk semua wanita tidak kira apa juga saiz badan sama ada tinggi, rendah, muda atau tua.

"Mereka boleh berbincang dengan kami dan 'custom made' pilihan warna atau corak tudung yang diingini kerana lebih penting, pelanggan berpuas hati," katanya.

Mengakhiri perbualan, Mohamad Kamal berkata, berhijab bukan halangan untuk seseorang wanita tampil berfesyen.

Sebaliknya, pemilihan warna dan corak tudung yang sesuai dengan pakaian mampu menyerlahkan lagi penampilan seseorang wanita.

"Pelbagai rekaan tudung boleh didapati di pasaran, pilih yang sesuai dengan penampilan anda.

"Apa pun, jangan pandang remeh pemilihan tudung kerana jika tidak terletak elok atau tersalah padanan warna, ia boleh merencatkan 'mood' dan penampilan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:00 AM