ISU berkait rapat dengan ketidaksuburan kerana tekanan emosi, penyumbang kes cerai.
ISU berkait rapat dengan ketidaksuburan kerana tekanan emosi, penyumbang kes cerai.
Muhamaad Razis Ismail


Baru-baru ini akhbar ini melaporkan tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah mati putik bercerai dengan pasangan masing-masing.

Lebih mengejutkan, masalah seksual yang dialami wanita ini menjadi antara penyumbang tertinggi kepada kes perceraian di Kelantan dan Selangor.

Mengulas lanjut berkenaan permasalahan ini, Doktor Sakit Puan Metro IVF, Dr Nazurah Abdul Mutalib berkata, mati putik atau disfungsi seksual wanita ialah isu yang menghalang seseorang wanita daripada menikmati atau ingin melakukan hubungan intim disebabkan tiada rangsangan, sukar syahwat atau sakit ketika hubungan seks.

"Perlu diketahui kitaran tindak balas seksual wanita mempunyai empat peringkat iaitu rangsangan, keinginan, syahwat (orgasm) dan tekanan emosi

"Secara ringkas, ia lebih merujuk kepada perubahan mana-mana fasa kitaran tindak balas seksual sehingga mencegah kepuasan ketika aktiviti seksual terutama kepada pasangan yang sedang mencuba untuk memperoleh cahaya mata," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beberapa kajian menunjukkan bahawa isu ini berkait rapat dengan isu ketidaksuburan kerana tekanan emosi.

"Ada kajian menyatakan saling kebergantungan fungsi seksual antara pasangan turut memberi kesan psikologi kepada pasangan.

"Fungsi reproduktif wanita boleh terjejas disebabkan keadaan semula jadi tubuh wanita itu yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna (etiologi genital), penyakit (etiologi ekstragenital) atau faktor psikologi," katanya.

MATI putik menghalang wanita daripada menikmati atau ingin melakukan hubungan intim.
MATI putik menghalang wanita daripada menikmati atau ingin melakukan hubungan intim.

Beliau berkata, punca disfungsi seksual boleh berbeza, bergantung pada jenis kategori gangguan yang secara amnya terbahagi kepada faktor fizikal dan psikologi.

"Faktor fizikal termasuk keadaan perubatan seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, kegagalan hati, rawatan kanser dan ketidakseimbangan hormon.

"Isu psikologi seperti tekanan, kebimbangan, kemurungan, perasaan tidak mencukupi secara seksual, masalah perkahwinan atau perhubungan juga menyumbang kepada disfungsi seksual," katanya.

Menurutnya, dilema yang dihadapi wanita terutama berkaitan hubungan kelamin apabila ia jarang dibincangkan secara terbuka kerana menjadi rahsia peribadi wanita serta rumahtangga.

"Sebenarnya, mati putik adalah satu masalah yang umum.

ANTARA isu yang menghalang seseorang wanita daripada menikmati atau ingin melakukan hubungan intim.
ANTARA isu yang menghalang seseorang wanita daripada menikmati atau ingin melakukan hubungan intim.

Wanita tidak perlu malu atau berasa janggal untuk mendapatkan khidmat bantuan dan sokongan yang diperlukan.

"Wanita perlu bersikap lebih terbuka terutama kepada pakar perubatan supaya isu ini tidak dibiarkan berpanjangan yang mungkin menjejaskan hubungan suami isteri," katanya.

Katanya, wanita tidak perlu khuatir kerana anda tidak bersendirian berikutan ia turut dihadapi wanita lain bukan sahaja di Malaysia bahkan di luar negara.

"Menurut American Society for Reproductive Medicine, mati putik boleh berlaku pada semua peringkat umur dan menjejaskan sebanyak 30 peratus lelaki dan 40 peratus wanita.

"Bagaimanapun ia jarang dibincangkan secara terbuka kerana sensitiviti budaya yang berbeza-beza," katanya.

FAKTOR fizikal dan psikologi menjadi punca disfungsi seksual wanita.
FAKTOR fizikal dan psikologi menjadi punca disfungsi seksual wanita.

Jelasnya, ubat-ubatan tertentu mungkin diberikan doktor untuk membantu wanita yang mengalami mati putik selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Wanita yang mengalami penyempitan faraj atau dispareunia, terdapat sejenis alat yang dipanggil dilator boleh membantu meningkatkan keanjalan tisu faraj dan menggalakkan penembusan zakar supaya hubungan kelamin dapat berlaku.

"Terapi atau sokongan psikologi boleh membantu menangani isu kesihatan dan trauma seksual. Terapi keintiman dengan pakar terlatih boleh membantu individu dan pasangan menyelesaikan isu seksual sambil turut menyediakan terapi perhubungan," katanya.

Dr Nazurah berkata, komunikasi dan mengekalkan dialog terbuka antara pasangan adalah kunci untuk merawat disfungsi seksual.

"Pasangan perlu berbincang mengenai keperluan dan kebimbangan yang mereka hadapi supaya dapat menjalani hubungan suami isteri yang lebih baik.

"Kemesraan juga perlu dipupuk antara suami isteri supaya dapat menjalin ikatan emosi yang intim, menikmati masa yang dihabiskan bersama serta melakukan hubungan kelamin secara aktif dan teratur," katannya.

Oleh itu adalah penting bagi pasangan menyedari bahawa terdapat beberapa jenis disfungsi seksual supaya mereka mendapat khidmat nasihat daripada pakar yang diperlukan untuk terus kekal menjalinkan hubungan yang sihat bersama pasangan.

"Jangan biarkan perkara itu berlarutan kerana setiap masalah yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya.

"Nasihat dan rawatan daripada pakar dapat membantu dalam menangani isu ini agar pasangan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik serta mendapat zuriat yang diimpikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 6:20 AM