CHEF Zam menunjukkan terung penyet yang sedap untuk dijadikan juadah berbuka atau bersahur.
CHEF Zam menunjukkan terung penyet yang sedap untuk dijadikan juadah berbuka atau bersahur.
Hafiz Ithnin

DALAM menjalani ibadah puasa ketika ini, pastinya penyediaan makanan yang berkhasiat dan cepat untuk dihidangkan menjadi pilihan ramai.

Apatah lagi bagi mereka yang bekerja yang sering berdepan kekangan masa. Pulang saja dari kerja, pasti ada yang bergegas ke dapur menyiapkan juadah berbuka begitu juga dengan penyediaan juadah moreh atau bersahur.

Jadi, golongan ini perlu menyediakan juadah yang mudah, cepat dan berkhasiat.

Bagi Chef Zam Akmal, dalam penyediaan juadah berbuka, moreh atau bersahur sudah semestinya hidangan yang sihat perlu disajikan.

"Meskipun kita mempunyai kekangan masa untuk memasak, tetapi isu menyediakan juadah yang berkhasiat tidak boleh diketepikan kerana ia penting untuk kesihatan diri.

"Dalam masa sama sebenarnya ada banyak resipi yang boleh diikuti orang ramai dalam menyediakan sesuatu hidangan yang ringkas, mengenyangkan, berkhasiat dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk disediakan," katanya.

Justeru, Chef Zam Akmal berkongsi resipi Sambal Terung Penyet yang hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk dihidangkan bersama insan tersayang.

TERUNG penyet yang sedia untuk dihidangkan.
TERUNG penyet yang sedia untuk dihidangkan.

Malah, resipi itu juga sebenarnya hampir sama seperti di kedai masakan ayam penyet yang begitu sedap jika dihidangkan bersama nasi panas.

"Juadah ringkas ini juga boleh disediakan orang bujang yang ingin mengubah selera dengan merasa air tangan sendiri.

"Ia cukup mudah untuk disediakan kerana tidak memerlukan bahan yang banyak dan tempoh masa diambil juga agak pendek, tetapi hasilnya cukup enak untuk dinikmati," katanya.

Resipi Terung Penyet

Bahan-bahan:

1. Sebiji terung digoreng (potong ikut kesesuaian sebelum digoreng).

2. Bahan sambal:

- Lada merah lima batang.

- Cili padi lima hingga 10 batang.

- Bawang kecil tiga ulas.

- Bawang putih dua ulas.

- Tomato sebiji.

- Belacan satu hingga dua inci yang dibakar atau goreng.

- Ikan bilis satu genggam.

Kaedah masakan:

- Semua bahan di atas digoreng dan biarkan sedikit sejuk. Tumbuk secara kasar.

- Campurkan terung. Tumis kembali dan masukkan daun limau purut garam dan gula.

- Siap dihidang bersama nasi panas.

HIDANGAN yang mengambil masa singkat untuk disediakan.
HIDANGAN yang mengambil masa singkat untuk disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:30 AM