HIDANGAN ikan tilapia goreng bersama sambal penyet mengundang selera. FOTO: Ahmad Irham mohd nor
HIDANGAN ikan tilapia goreng bersama sambal penyet mengundang selera. FOTO: Ahmad Irham mohd nor
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

JEMU menjamu ayam dan daging, apa kata sekali- sekala ubah selera anda dengan menikmati hidangan ikan yang boleh dimasak dalam pelbagai cara daripada menggoreng, hinggalah juadah berkuah seperti masak lemak cili api, tempoyak serta gulai.

Bagi penggemar ikan air tawar seperti tilapia, banyak hidangan berasaskan ikan ini pastinya menggamit selera apatah lagi dihidangkan dengan nasi panas.

Pengasas Nelang Cafe, Mohamad Hanis Hazman Azizan berbesar hati berkongsi resipi istimewa restoran itu iaitu masakan ikan tilapia goreng rangup bersama sambal yang amat mudah disediakan.

Menurutnya, penyediaan hidangan itu tidak sukar, namun dengan bahan perapan lengkap dan tempoh perapan yang betul menjadikan hidangan itu sempurna.

“Mudah menyediakan ramuannya kerana bahan digunakan adalah bahan asas di dapur. Selain itu, teknik mengadun bahan hingga menggorengnya perlu betul supaya dapat hasilkan tilapia yang rangup di luar dan berjus di dalamnya,” katanya.

Restoran di Kuala Terengganu itu turut menyajikan aneka hidangan tradisi dan Barat. Istimewanya, ia turut menawarkan harga yang berpatutan, malah harga istimewa untuk pelajar dengan serendah RM5.

Mohamad Hanis turut berkongsi resipi ikan tilapia goreng rangup dan sambal penyet yang mudah disediakan sesiapa saja di rumah dan enak dihidangkan bersama nasi panas, tauhu dan tempe goreng.

Ikan tilapia goreng rangup

Bahan

- 1 ekor ikan tilapia (bahagian isi dibelah)

-1 sudu serbuk kunyit

- Garam secukup rasa

- Penambah perasa

- Minyak untuk menggoreng

BAHAN untuk membuat tilapia goreng rangup.
BAHAN untuk membuat tilapia goreng rangup.

Cara memasak

1. Gaulkan ikan dengan serbuk kunyit dan garam dan goreng dalam minyak panas.

GAULKAN tilapia dengan serbuk kunyit.
GAULKAN tilapia dengan serbuk kunyit.

Bahan sambal

- 1 mangkuk cili merah

- 1 mangkuk cili padi

- Sedikit belacan

- 1 mangkuk ikan bilis

- 4 biji tomato

- 1 mangkuk bawang putih

- 1 mangkuk bawang merah

- 1 mangkuk bawang besar

Garam dan gula secukup rasa

Perahan air limau secukup rasa

BAHAN untuk hasilkan  sambal penyet.
BAHAN untuk hasilkan sambal penyet.

Cara memasak

1. Sediakan bahan, potong kecil dan goreng semua bahan dengan minyak (sedikit) hingga lembut. Kisar kasar, kemudian tumis semua bahan dalam kuali dan tambah perahan limau. Biarkan seketika hingga semua bahan sebati.

2. Ikan tilapia goreng enak dihidangkan bersama nasi panas, sambal penyet, tempe dan tauhu goreng serta sayur kegemaran.

MOHAMAD Hanis menunjukkan masakan ikan tilapia goreng rangup dan sambal penyet.
MOHAMAD Hanis menunjukkan masakan ikan tilapia goreng rangup dan sambal penyet.

TIP MEMILIH IKAN SEGAR

1. Mata: Cerah, bening, cembung dan menonjol

2. Insang: Merah, berbau segar, tertutup lendir bening

3. Warna ikan: Terang, lendir bening

4. Bau: Segar

5. Isi ikan: Warna sesuai ikan, padat atau kenyal, bila ditekan bekasnya segera hilang

6. Sisik ikan: Menempel pada kulit

7. Perut ikan: Utuh, elastik dan tidak lembik

8. Keadaan semasa dalam air: Tenggelam di air dan tidak mengapung

TIP MENYIMPAN IKAN

1. Pastikan ikan disiang terlebih dulu

2. Rendamkan ikan dalam air garam yang sejuk kira-kira 10 minit akan membantu ikan mengekalkan kandungan air dan rasanya.

3. Basuh ikan, keringkan dan simpan di dalam beg plastik berzip atau bekas kedap udara. Biasanya ikan dapat disimpan antara dua hingga tiga bulan di dalam peti dingin beku.

4. Pastikan suhu peti dingin beku antara 0 hingga -2 darjah Celsius untuk mengekalkan kesegaran ikan dan memperlahankan aktiviti mikro organisma.

5. Boleh juga gunakan dua lapisan pembungkus untuk mengekalkan kesegaran ikan. Bungkus dalam bungkusan kecil, cukup untuk sekali masak. Ini akan mempercepatkan proses pembekuan dan nyah beku apabila anda mahu memasaknya.

6. Apabila menyimpan, jangan letakkan bertindan dalam kuantiti banyak. Sebaiknya, jarakkan kedudukannya supaya cepat beku. Apabila sudah beku, barulah susun bertindan atau bertingkat.

KOTAK AIS

Jika ruang dingin beku peti sejuk anda terhad, ikan boleh disimpan dalam kotak ais.

1. Potong ikan dalam saiz yang sederhana atau kecil untuk memudahkan simpanan.

2. Masukkan ikan dalam bekas bertutup dan kedap. Pastikan ada baki ruang dalam bekas kerana ikan akan ‘mengembang’ apabila beku.

3. Pastikan bekas ikan diliputi air berais.

4. Segera pindahkan ikan ke peti sejuk sebaik ada ruang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:00 AM