ANTARA serpihan enjin pesawat yang terjatuh berhampiran rumah penduduk. FOTO Agensi
ANTARA serpihan enjin pesawat yang terjatuh berhampiran rumah penduduk. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Boeing menggantung operasi lebih 100 pesawatnya selepas kegagalan enjin sebuah pesawat United Airlines dari Denver ke Hawaii, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, satu enjin pesawat berkenaan terbakar sebelum serpihannya jatuh di kawasan perumahan penduduk di pinggir Denver.

NBC News melaporkan, penggantungan model pesawat digunakan adalah Boeing 777 dikuasakan enjin jenis Pratt & Whitney 4000-112, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

"Sebanyak 69 pesawat jenis itu digunakan, manakala 59 masih dalam simpanan," kata Boeing.

Syarikat mengatakan penggantungan itu sehingga Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengenal pasti 'protokol pemeriksaan sesuai' untuk pesawat.

FOTO dirakam penumpang menunjukkan enjin pesawat itu terbakar.
FOTO dirakam penumpang menunjukkan enjin pesawat itu terbakar.

Pentadbir jabatan itu, Steve Dickson, mengatakan sebelumnya dia memerintahkan pemeriksaan pesawat dipertingkat selepas rundingan dengan pasukan pakar keselamatan penerbangan.

"Berdasarkan maklumat awal, kami menyimpulkan pemeriksaan harus ditingkatkan untuk bilah kipas berongga yang unik untuk model enjin ini, yang digunakan hanya pada pesawat Boeing 777," katanya.

United Airlines memaklumkan pihaknya segera menggantung operasi 24 pesawat Boeing 777 dikuasakan enjin jenis Pratt & Whitney, miliknya.

Pegawai persekutuan mengatakan hanya Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun yang menggunakan pesawat dengan enjin PW4000.

Di AS, United Airlines syarikat penerbangan Amerika tunggal yang menggunakan pesawat jenis itu.

Dalam pada itu, video kejadian yang diambil penumpang menunjukkan enjin pesawat yang membawa 231 orang terbakar.

Sebahagian serpihan jatuh ke kawasan kejiranan di Broomfield, Colorado namun tiada laporan kecederaan diterima.

Pesawat berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:30 AM