PERLU difahami keadaan anak  bermasalah sumbing bibir dan lelangit boleh dipulihkan serta berfungsi dengan normal.
PERLU difahami keadaan anak bermasalah sumbing bibir dan lelangit boleh dipulihkan serta berfungsi dengan normal.
Hafiz Ithnin


"DI MALAYSIA, dalam 611 kelahiran, terdapat seorang bayi yang dilahirkan mengalami masalah sumbing bibir dan lelangit," kata Pakar Pergigian Ortodontik, Unit Ortodontik, Klinik Pergigian Cahaya Suria, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Mohd Zambri Mohamed Makhbul.

Jelas pakar itu lagi, sumbing bibir dan lelangit adalah keadaan rekahan pada bahagian bibir atas, lelangit atau kedua-duanya.

"Sumbing bibir dan lelangit berlaku pada awal kehamilan ketika fasa perkembangan janin apabila dua tisu mulut yang sepatutnya bergabung, tidak bergabung dengan sempurna.

"Ia juga biasanya berlaku dan kadang-kadang berkaitan dengan sindrom lain. Ibu bapa yang tidak memahami keadaan ini boleh berasa kecewa apabila mendapati bayi mereka mengalami sumbing bibir dan lelangit," katanya.

Mohd Zambri berkata, ibu bapa sebenarnya tidak perlu terlalu gusar dan harus mengetahui bahawa keadaan anak mereka boleh dipulihkan serta berfungsi dengan normal.

Katanya, ibu bapa perlu memahami bahawa rawatan pesakit sumbing ini memerlukan masa yang lama. Motivasi yang tinggi daripada ibu bapa dan pesakit sendiri dapat menjamin kejayaan rawatan.

SUMBING dalam kalangan kanak-kanak menjadi kegusaran kepada ibu bapa.
SUMBING dalam kalangan kanak-kanak menjadi kegusaran kepada ibu bapa.

"Kejayaan rawatan pesakit sumbing bibir dan lelangit ini memerlukan kerjasama serta gabungan daripada beberapa kepakaran supaya rawatan yang dijalankan adalah menyeluruh.

"Antara beberapa kepakaran yang terbabit ialah pakar bedah plastik dan rekonstruktif, pakar bedah mulut dan maksilofasial, pakar ortodontik, ahli terapi percakapan, pakar pembedahan hidung, telinga dan tekak dan pakar kanak-kanak," katanya.

Selain itu, ia juga membabitkan pakar pergigian kanak-kanak, pakar pergigian prostodontik, ahli psikologi, ahli terapi pendengaran, ahli genetik, doktor pergigian dan pakar pemakanan.

Tambahnya, kepakaran ortodontik antara yang diperlukan untuk sama-sama dalam merawat pesakit sumbing bibir dan lelangit.

Jelasnya, pesakit sumbing bibir dan lelangit yang dirawat pakar ortodontik akan melalui beberapa fasa mengikut tumbesaran dan perkembangan kegigian pesakit.

PERBEZAAN saiz rahang selepas proses pembesaran saiz rahang menggunakan pendakap gigi.
PERBEZAAN saiz rahang selepas proses pembesaran saiz rahang menggunakan pendakap gigi.

"Pemantauan pakar ortodontik terhadap pesakit ini mengambil masa yang panjang iaitu sejak dari kecil sehingga dewasa dan ia bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit," katanya.

Rawatan Ortodontik yang mungkin dijalankan kepada pesakit sumbing bibir dan lelangit ialah:

PEMBUKAAN ruang rekahan dengan menggunakan pendakap gigi.
PEMBUKAAN ruang rekahan dengan menggunakan pendakap gigi.

Pembesaran saiz rahang

Rahang atas bagi pesakit sumbing bibir dan lelangit biasanya lebih kecil berbanding dengan rahang bawah. Oleh itu, pembesaran saiz rahang akan dilakukan untuk menyediakan tempat bagi penambahan tulang.

Pembukaan ruang rekahan sumbing sebelum penambahan tulang (geraf tulang)

Ruang rekahan sumbing biasanya sempit dan tidak mencukupi untuk melalui proses penambahan tulang. Oleh itu, proses pembukaan ruang rekahan dan penyusunan gigi menggunakan pendakap gigi akan dibuat bagi memudahkan proses penambahan tulang (geraf tulang).

PENYUSUNAN gigi yang sesak sekiranya tumbesaran rahang atas dan bawah berada dalam keseimbangan.
PENYUSUNAN gigi yang sesak sekiranya tumbesaran rahang atas dan bawah berada dalam keseimbangan.

Pemantauan pertumbuhan gigi

Proses penambahan tulang dilakukan ketika pesakit berumur antara lapan hingga 10 tahun. Selepas proses penambahan tulang, pertumbuhan kegigian pesakit akan dipantau pakar ortodontik setiap enam bulan bagi memastikan gigi mereka tumbuh dengan normal dan mengikut waktunya.

Penyusunan gigi

Penyusunan gigi menggunakan pendakap gigi hanya akan dilakukan sekiranya keseimbangan tumbesaran di antara rahang atas dan bawah berlaku. Bagaimanapun, pesakit sumbing bibir dan lelangit mempunyai potensi dalam pengurangan tumbesaran rahang atas. Jika ini berlaku, pesakit akan dipantau sehingga berumur antara 17 hingga 19 tahun iaitu bergantung kepada jantina pesakit sebelum perancangan pembedahan rahang dibuat.

Penyusunan gigi sebelum pembedahan rahang

Tumbesaran rahang menjadi stabil setelah pesakit mencapai umur 17 hingga 19 tahun. Pesakit sumbing bibir dan lelangit biasanya mempunyai rahang atas yang lebih pendek berbanding rahang bawah. Oleh itu, pemasangan pendakap gigi akan dilakukan selepas mencapai usia ini sekiranya pesakit ingin membetulkan keharmonian kedudukan tulang rahang. Pembedahan rahang ini biasanya adalah untuk memberikan pesakit fungsi pengunyahan makanan yang betul.

Rawatan pesakit sumbing bibir dan lelangit ini mengambil masa yang lama. Tujuan utama rawatan adalah untuk meningkatkan keyakinan diri, memperbaiki fungsi, estetik dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup pesakit.

DR MOHD ZAMBRI
DR MOHD ZAMBRI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:15 AM