ELAKKAN mencium si manja ketika memakai mekap.
ELAKKAN mencium si manja ketika memakai mekap.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RUAM biasanya kerap berlaku pada bayi, khususnya ketika dalam tempoh berpantang kerana keadaan persekitaran yang panas dan lembap.

Ia selalunya berlaku pada bahagian kulit tertentu si manja seperti di bahagian pipi, dagu, leher dan kawasan pelipat lain.

Ruam akibat cuaca panas pula muncul apabila peluh terperangkap di bawah kulit.

Disebabkan bayi mempunyai kelenjar peluh yang lebih kecil dan tidak mampu mengawal suhu tubuh, mereka lebih mudah terdedah kepada ruam panas daripada orang dewasa.

Selain itu, pakaian ketat, bedung atau selimut juga dikatakan boleh menyebabkan ruam panas, namun biasanya ruam akan hilang sendiri tanpa rawatan.

Untuk menghilangkan ruam, ada beberapa petua yang boleh diamalkan antaranya menyapu air suam pada kulit bayi dan lapkan dengan kain lembut setiap kali selesai menyusu.

Sisa susu ibu boleh menyebabkan ruam muncul, tambahan lagi apabila si manja kerap menyusu badan.

Selain itu, tepung ubi juga boleh digunakan sebagai bedak sejuk untuk menghilangkan ruam pada bayi.

Caranya mudah iaitu tambahkan sedikit air dan sapu seperti bedak sejuk.

ANTARA jenis ruam yang biasa berlaku pada kulit bayi.
ANTARA jenis ruam yang biasa berlaku pada kulit bayi.

Jika ada bedak sejuk lagi baik kerana ia adalah kaedah yang digunakan sejak turun-temurun, cuma sapukan di kawasan ruam dan biarkan ia kering.

Bagi yang ada menanam pokok bunga melati boleh ambil bunga segar untuk digosokkan pada ruam.

Ia dipercayai bukan hanya dapat membantu merawat ruam, malah boleh melembapkan kulit bayi.

Dalam pada itu, minyak kelapa dara dan minyak zaitun juga mempunyai khasiat untuk merawat ruam pada bayi.

Minyak zaitun umpamanya bukan sahaja bagus untuk kulit, malah tidak memberi tindak balas buruk pada kulit si manja.

Selain itu, lendir lidah buaya juga bermanfaat untuk mengurangkan ruam pada kulit bayi, caranya mudah iaitu hanya sapukan dan biarkan kering.

Losyen kalamin (calamine) pula adalah ubat moden yang biasa digunakan untuk merawat ruam.

Namun, elakkan losyen daripada terkena bahagian mata atau termasuk dalam mulut bayi.

Petua lain yang praktikal adalah sentiasa memakaikan bip atau segera lap air liur bayi yang meleleh kerana air liur bayi boleh menyebabkan ruam susu lambat sembuh.

BEDAK sejuk atau tepung ubi membantu merawat ruam pada bayi.
BEDAK sejuk atau tepung ubi membantu merawat ruam pada bayi.

Suhu paling memainkan peranan dalam pertambahan ruam pada kulit bayi, tambahan lagi apabila disertai kulit yang lembap akibat peluh atau lelehan susu.

Jadi, pastikan susu sentiasa berada dalam keadaan nyaman atau gunakan kipas kecil bagi membuatkan si kecil selesa.

Apapun, elakkan mencium si manja ketika memakai mekap kerana sesetengah bahan mekap mempunyai kandungan bahan yag tidak sesuai untuk kulit bayi.

Jika gemar memakai losyen tangan, berhenti memakai buat sementara waktu kerana ada kemungkinan bayi anda mengalami ruam akibat tindak balas kepada bahan kimia yang ada dalam produk itu.

BUNGA melati juga dapat membantu merawat ruam dan melembapkan kulit bayi.
BUNGA melati juga dapat membantu merawat ruam dan melembapkan kulit bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:30 AM