NOOR ATIQAH ( baju merah) menggayakan aksesori pada kliennya.
NOOR ATIQAH ( baju merah) menggayakan aksesori pada kliennya.
Nurul Husna Mahmud

Naluri wanita sukar menolak pesona perhiasan atau aksesori yang sering dijadikan pelengkap gaya. Hinggakan ada yang melihat setiap koleksi serba satu harus berada dalam simpanan.

Satu tanggapan yang biasa bagi kebanyakan wanita, lagi besar sesuatu aksesori atau perhiasan itu dikenakan, lagi mewah atau elegan penampilan mereka.

Menurut Perunding Imej Profesional Nurul Atiqah Noor Halim, mengenakan aksesori dengan penuh kesederhanaan kadangkala memberi kesan lebih 'dramatik' pada keterampilan diri masing-masing.

"Merelik' daripada atas hingga ke bawah dengan pemakaian aksesori besar dan berkilauan tidak semestinya nampak 'wow.'

"Sedangkan mengenakan sepasang aksesori ringkas dan sesuai boleh menyuntik 'aura' kerana aksesori berperanan untuk serikan penampilan.

"Penggunaan aksesori berlebih-lebihan boleh menenggelamkan pesona pemakai sehingga membuatkan orang lebih fokus kepada aksesori berbanding individu," katanya.

Noor Atiqah turut memberi contoh figura yang boleh dijadikan 'sorotan' peminat aksesori, seperti gaya dikenakan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang kerap mengenakan rantai mutiara sedondon dengan anting-anting daripada rekaan mutiara juga.

Kata Noor Atiqah, pemakaian aksesori perlulah dilihat daripada pelbagai aspek iaitu jenis majlis, corak baju dan bentuk badan.

JAM tangan dan gelang sebaiknya tidak dipakai pada tangan yang sama.
JAM tangan dan gelang sebaiknya tidak dipakai pada tangan yang sama.

"Pada saya tidak semestinya aksesori mahal dan berjenama memberikan gaya elegan dan sofistikated, sebaliknya cara wanita menata rias diri dengan aksesori itu memberi makna pada pembawaan diri mereka.

"Secara umumnya dalam kaedah menentukan imej, ada lima panduan berdasarkan akronim TOPPP iaitu Time (Masa), Occasion (Majlis), Place (Lokasi), Person (Pembawaan diri sebagai siapa) dan People (Dengan siapa akan ditemui).

"Berdasarkan lima elemen itu akan menentukan gaya penampilan diri pada hari berkenaan termasuklah aksesori," katanya.

Menerangkan lebih lanjut mengenai pemilihan aksesori yang sesuai berdasarkan majlis dihadiri, kata Noor Atiqah, majlis formal biasanya sesuai dengan mengenakan lebih berkilau tetapi 'sleek' supaya tampak mewah.

"Berbeza untuk ke majlis formal seperti makan malam atau majlis anugerah, pilihan aksesori lebih sesuai ialah berlian dan mutiara.

"Kalau kenduri atau acara santai, rasanya untuk gayakan berlian agak keterlaluan dan biasanya kita lebih selesa dengan aksesori ringkas atau ada motif tertentu seperti flora," katanya.

KERONGSANG besar pada tudung memberi fokus mata orang yang memerhati anda.
KERONGSANG besar pada tudung memberi fokus mata orang yang memerhati anda.

Noor Atiqah tidak lupa menjelaskan dalam pemakaian aksesori terdapat peraturan tertentu membolehkan penggayaan perhiasan diri itu lebih menonjol.

"Dalam pemakaian aksesori, ada peraturan dipanggil 'Rules of Five' yang mana menerangkan bagaimana aksesori boleh menyerlahkan penampilan seseorang.

"Pertama ialah aksesori cincin yang mana berpandukan prinsip asas 'less is more' dengan satu tangan hanya dihadkan kepada satu jenis cincin.

"Kedua dan ketiga peraturan mengenakan gelang dan jam tangan, iaitu hanya satu tangan sahaja bagi setiap aksesori berkenaan. Jika pakai gelang di tangan kiri bermaksud jam tangan haruslah dipakai pada tangan kanan.

"Rantai dan loket yang mana motif dan jenis bersandarkan pada pilihan pakaian individu. Kalau berbadan berisi sebaiknya pilihan geometri kerana memberi visual lebih baik berbanding mengenakan motif bulat," katanya.

Turut menjelaskan peraturan akhir iaitu membabitkan pemakaian anting-anting yang boleh ditukar dengan pemakaian kerongsang pada wanita bertudung.

FLORA boleh berikan sentuhan feminin.
FLORA boleh berikan sentuhan feminin.

Tambahnya, pada pemakaian kerongsang, penggayanya perlu mengehadkan penggunaan kerongsang besar tidak melebihi saiz tiga jari agar tampak lebih bergaya.

Noor Atiqah turut menasihati peminat aksesori supaya kerap meninjau panduan serta cara penggayaan aksesori bersesuaian dengan personaliti selain tidak mengabaikan lima peraturan dalam pemakaian perhiasan.

"Saya sering nasihat kepada klien supaya mereka sentiasa ada koleksi aksesori mencukupi boleh disuai padan dengan keperluan busana dan acara dihadiri.

"Jika mereka ini ada rutin sibuk, sekurang-kurangnya bawa satu set aksesori tambahan yang boleh ditukar apabila menghadiri majlis berlainan dalam satu hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 7:00 AM