BERSIHKAN papan pemotong selepas menggunakannya. - FOTO Google
BERSIHKAN papan pemotong selepas menggunakannya. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


TAHUKAH anda, selain tangan sentiasa bersih, sebelum menyediakan makanan perlu dipastikan juga peralatan sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Statistik kes keracunan makanan di negara ini menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa berikutan beberapa faktor.

Keracunan makanan berlaku apabila seseorang individu terambil makanan tercemar dan mengandungi bahan kontaminan sama ada dalam bentuk fizikal, kimia atau biologi.

Antara kuman menyebabkan keracunan makanan adalah salmonella, staphylococcus aureus dan vibrio parahaemolyticus yang disebar melalui bahan pencemar, vektor atau pembawa kuman.

Terdapat beberapa simptom yang akan dihadapi mereka yang mengalami masalah ini termasuk sakit perut, muntah, cirit-birit, sakit kepala dan demam.

Selain itu, terdapat perubahan pada najis termasuk berdarah, berlendir ataupun tersangat cair.

Antara peralatan yang sering kita terlepas pandang adalah kebersihan papan pemotong.

Malah, kebanyakan menggunakan papan pemotong yang sama untuk memotong pelbagai bahan mentah sama ada daging, ikan dan sayur, sekali gus boleh menyumbang kepada risiko pencemaran silang.

Kajian yang dijalankan mendedahkan satu sentimeter (sm) persegi papan pemotong mengandungi 24,000 bakteria yang boleh mengakibatkan keracunan makanan.

PENGENDALI makanan juga perlu menjaga kebersihan. - FOTO Google
PENGENDALI makanan juga perlu menjaga kebersihan. - FOTO Google

KERACUNAN makanan boleh berpunca daripada peralatan memasak yang tidak bersih. - FOTO Google
KERACUNAN makanan boleh berpunca daripada peralatan memasak yang tidak bersih. - FOTO Google

Terdapat beberapa panduan yang boleh digunakan untuk elakkan papan pemotong menjadi punca terhadap keracunan makanan:

1. Sentiasa menggunakan papan pemotong bersih dalam menyediakan makanan.

2. Selepas menggunakan papan pemotong bersihkan dalam air sabun yang panas, kemudian bilas dengan air dan keringkan.

3. Gantikan papan pemotong yang sudah merekah dan calar kerana ia menjadi 'lubuk' bagi pelbagai jenis bakteria.

4. Gunakan papan pemotong berbeza untuk memotong bahan mentah. Contohnya boleh gunakan warna berbeza.

5. Pilih permukaan papan pemotong yang mudah dibersihkan seperti plastik dan kayu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 6:38 AM