JAMU disediakan secara tradisi.
JAMU disediakan secara tradisi.
Siti Nadirah Hafidzin


ISTILAH cantik itu luas dan bersifat subjektif. Ada wanita beranggapan cantik itu perlu ditonjolkan melalui penampilan diri namun ada pula bersetuju ia lebih kepada memiliki kesihatan terbaik luaran dan dalaman.

Ternyata wanita lebih peka dan arif dalam aspek ini apabila ramai yang mengimpikan untuk memiliki kecantikan wajah juga bentuk tubuh menawan walaupun selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata.

Hakikatnya tidak semudah disangka apatah lagi apabila usia memasuki angka 40 tahun dan ke atas, satu persatu garisan penuaan serta kedut di wajah jelas kelihatan, tubuh juga terasa begitu mudah penat terutama selepas seharian sibuk menguruskan rumah tangga atau tugasan di pejabat.

Pengambilan makanan kesihatan moden dibenarkan atau jamu tradisional antara satu daripada kaedah penjagaan kesihatan juga kecantikan diri selain senaman rutin. Tidak hairan mengapa nenek moyang terdahulu sering dilihat mengamalkan pengambilan akar kayu untuk tujuan itu.

Berkongsi tip penjagaan diri khususnya kepada wanita yang sudah berkahwin dan melalui proses kehamilan dan melahirkan, ibu kepada lima cahaya mata, Zuraini Idayu Zorkepri, 40, tegas mengatakan pemakanan harian memainkan peranan terpenting.

JAMU menjadi rebusan sebagai amalan kesihatan
JAMU menjadi rebusan sebagai amalan kesihatan

Selain diet harian yang perlu diberikan penekanan dan bersenam, ramai wanita era kini langsung tidak mementingkan soal pengambilan jamu tradisional untuk kesihatan diri, bagi mereka semua itu karut dan tidak lagi relevan.

Percaya atau tidak, jamu tradisional tidak kira berbentuk cecair atau yang sudah dikapsulkan mempunyai khasiat tersendiri namun perlu diketahui ramuan yang terkandung di dalamnya. Saya sendiri mengamalkan pemakanan jamu sejak sebelum berkahwin hingga kini dan syukur hingga saat ini merasai khasiat khususnya dalam kesihatan serta kecantikan diri,” katanya.

Tambah Zuraini Idayu yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu, selain membantu mengekalkan kesihatan luar dan dalam, ia juga membuatkan dirinya kekal bertenaga walaupun ketika rutin harian padat.

Seperti yang saya katakan, diri sendiri perlu tahu ramuan jamu yang diambil, jangan sesekali ambil mudah kerana ada juga jamu moden mengandungi bahan tidak dibenarkan.

Lebih mudah jika anda menyediakannya sendiri, guna akar kayu dan herba, jika tidak tahu boleh bertanya kepada ibu juga nenek atau saudara-mara lebih berpengalaman kerana ia lebih selamat dan tidak memudaratkan,” katanya.

Menurutnya, selepas lebih 20 tahun mengamalkannya, dia sendiri berjaya mendapatkan hasil diinginkan.

JAMU perlu diproses dan dikeringkan.
JAMU perlu diproses dan dikeringkan.

Saya bukan saja mahu cantik namun lebih pada mahu kekal sihat apatah lagi apabila usia semakin meningkat, paling seronok apabila anak-anak sudah membesar namun kita kelihatan ‘awet muda’.

Disebabkan itu, sedaya upaya saya amalkan pengambilan jamu yang disediakan sendiri, dalam masa sama saya juga berjinak-jinak untuk komersialkan kepada wanita di luar sana, katanya.

Menurut Zuraini, bagi membantu memberi kesedaran kepentingan penjagaan diri, dia dibantu suami tercinta, Shamsul Bahari Baharudin, 41, sering bertemu orang ramai dan memberi penerangan supaya menjaga pemakanan harian termasuk mengeluarkan produk jamu dan kosmetik berasaskan herba dan kolegan atas jenama CLV sejak 2016.

Walaupun kelihatan agak pelik kerana saya seperti bersungguh-sungguh mahu membantu ramai wanita tampil cantik dan sihat dengan berasaskan jamu namun bagi saya ia adalah tanggungjawab bersama.

Saya sering mengingatkan kepada kenalan dan ahli keluarga terdekat supaya amalkan pemakanan akar kayu dan herba juga kolagen kerana ia sangat bagus untuk kesihatan jangka panjang,” katanya.

BERSAMA suami yang sentiasa berada di sisi tidak kira susah atau senang.
BERSAMA suami yang sentiasa berada di sisi tidak kira susah atau senang.

Tambahnya, dia juga komited untuk merealisasikan impiannya dengan mengajak lebih ramai wanita yang peka dengan aspek penjagaan diri untuk menjadi sebahagian daripada pasukannya.

Wanita tidak boleh ambil mudah, tidak boleh sambil lewa mengenai perkara ini kerana ia juga bersangkut paut dengan hubungan suami isteri.

Saya juga mula menghasilkan produk kosmetik dan jamu berasaskan akar kayu, herba dan kolagen bagi membantu lebih ramai wanita. Walaupun sekadar kecil-kecilan namun saya tidak kesah kerana tujuan utama saya hanya untuk berkongsi manfaat mengamalkan pemakanan sihat, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:28 PM