HANNA bijak bergaya dan memberikan penampilan menawan untuk sesi penggambaran. FOTO Aziah Azmee
HANNA bijak bergaya dan memberikan penampilan menawan untuk sesi penggambaran. FOTO Aziah Azmee
Siti Zarinah Sahib


MEMILIKI wajah menawan memberi peluang kepada Nurul Hanna Farisha Mohd Fauzi, 19, mengembangkan bakat sebagai model.

Menurut gadis kelahiran Taiping, Perak ini, bidang peragaan bermula secara tidak sengaja selepas dia menjadi selebriti media sosial.

“Saya akui sekarang semua perkara berkait dengan media sosial. Siapa yang tertinggal akan terus ketinggalan. Selepas kejayaan mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 tular di media sosial, pengikut saya terus meningkat.

“Daripada ribuan meningkat sehingga ratusan ribu. Saya rasakan tidak salah menggunakan peluang yang ada jika ia memberikan kebaikan,” katanya yang juga anak kepada pelakon terkenal, Fauzi Nawawi.

Melihat kepada pengikutnya yang aktif, Nurul Hanna Farisha atau selesa disapa Hanna mula membuat ulasan produk. Bermula dengan satu ulasan lama-kelamaan dia semakin mendapat kepercayaan ramai apabila mula menjadikannya sebagai kerjaya sambilan.

“Dulu tidak sangka saya memperoleh pendapatan daripadanya. Maklumlah ketika bermula saya baru tamat SPM. Apabila mendatangkan hasil saya mula yakin untuk pergi lebih jauh dengan menghadiri pelbagai acara anjuran pelanggan,” katanya.

Menurut Hanna, kerjaya sebagai selebriti media sosial tidak terhenti di situ kerana apabila berpeluang melanjutkan pengajian di Intec Education College, pendapatan diperoleh digunakan sebagai simpanan.

Setiap bulan dia menerima antara RM2,000 sehingga RM6,000 bergantung kepada jumlah tawaran diterima. Ulasan diterima tidak terhad kepada produk kecantikan, tetapi membabitkan pakaian dan makanan.

“Selepas menerima tawaran, saya akan bersiaran sama ada secara langsung atau penulisan di Facebook dan Instagram,” katanya yang menyimpan semua wang diterima untuk kegunaan masa hadapan.

SELAIN pandai dalam pelajaran, juga bijak mempromosikan diri sebagai selebriti media sosial. FOTO Aziah Azmee
SELAIN pandai dalam pelajaran, juga bijak mempromosikan diri sebagai selebriti media sosial. FOTO Aziah Azmee

Mengakui bukanlah seorang yang boros, oleh kerana menerima elaun setiap bulan daripada bapa, dia terus membuat simpanan jangka panjang yang dapat dilaburkan atau digunakan untuk membeli rumah dan kereta selepas bekerja nanti.

Pada masa sama, dia yang memiliki peribadi pendiam dan kurang yakin berhadapan orang ramai, mahu membuktikan mampu membuang perasaan itu selepas bergelar selebriti media sosial.

“Memang benar sekarang saya lebih berani dan peramah. Lebih penting penampilan saya juga turut berubah menerusi pemakaian dan solekan,” katanya.

Meminati perakaunan

Memiliki pendapat tersendiri mengapa mengambil jurusan perakaunan, dia yang mempunyai sijil profesional perakaunan daripada badan bertauliah menjelaskan, sejak di tingkatan empat dia sedar kerjaya akauntan atau juruaudit semakin berkembang.

Sebab itu apabila ditawarkan jurusan Sains Tulen, dia menolak kerana rasa terbeban dan mengambil jurusan itu. Bagi Hanna, apa yang dilakukannya adalah keputusan yang sangat tepat.

Biarpun bermain dengan angka dan menyelesaikan banyak soalan berkaitan kewangan ia tidak membebankan kerana meminatinya.

“Saya akui semua kursus memerlukan fokus dan pengorbanan. Ia satu fasa pembelajaran dan persediaan menghadapi kerjaya pada masa depan. Perakaunan adalah subjek yang sukar kerana perlu menghafal teori dan konsep. Namun saya mengatur jadual supaya seimbang kedua-duanya.

“Bagi saya sekiranya gagal merancang pelajaran bermakna gagal merancang masa depan,” jelasnya.

Sebagai pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada setiap semester, kejayaan utama adalah fokus dan memahami apa yang diajar pensyarah. Prinsipnya sekiranya tidak faham dia akan terus bertanya atau mendapatkan maklumat daripada rakan atau pensyarah.

“Membiarkan ketidakfahaman ini berterusan ia akan mempengaruhi markah ujian. Sebab itu pelajar perlu cari penyelesaian agar dapat meningkat ke peringkat seterusnya,” katanya yang bercita-cita menjadi juruaudit selepas menamatkan pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 4:45 AM