IBU bapa mesti luangkan waktu untuk anak walau sesibuk mana sekalipun. GAMBAR hiasan
IBU bapa mesti luangkan waktu untuk anak walau sesibuk mana sekalipun. GAMBAR hiasan
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


“SAYA tak ada masa, awaklah pergi majlis prestasi dan penyampaian hadiah anak esok.

“Kenapa pula saya, esok saya ada mesyuarat dengan rakan sekerja, penting lagipun, tak boleh tunda.

“Semua hal anak, awak uruskan, ya. Setiap hari saya balik kerja lewat dan tak cukup masa, awak ibu dia, kenalah berkorban sedikit untuk anak.

“Kenapa bila bercakap pasal anak semuanya awak serah kepada saya, sedangkan saya bukannya suri rumah dan saya juga bekerja.”

Itu antara dialog panas ibu bapa masa kini yang hampir semuanya bekerja. Baik ayah mahupun ibu, masing-masing kerap menghabiskan lebih banyak masa di pejabat berbanding di rumah.

Berikutan perubahan masa, kebanyakan ibu bapa masa kini adalah ibu bapa berkerjaya demi meneruskan kelangsungan hidup.

Disebabkan itu, masa yang terluang untuk anak sangat singkat, ada yang hanya bertemu anak kurang tiga jam sehari iaitu sebelum masing-masing ke sekolah dan tempat kerja.

Pulang ke rumah, anak tersayang sudah lena diulit mimpi. Tidak salah bekerja, namun persoalannya, adakah masa yang sedikit itu cukup berkualiti antara ibu bapa dengan anak?

Mengupas mengenai situasi itu, pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak, Hazhari Ismail berkata, tidak dapat disangkal usia enam tahun ke bawah adalah usia sangat kritikal untuk membentuk asas yang kukuh bagi si kecil.

“Setiap perkembangan perlu berada di dalam keadaan yang baik, jika tidak ia akan memberi kesan berpanjangan kepada anak sehingga mereka besar.

“Sesibuk mana pun ibu bapa, mereka perlu meluangkan masa paling berkualiti bersama anak tidak kira sesingkat mana,” katanya.

HAZHARI
HAZHARI

Katanya, kehidupan ini terlalu singkat dan waktu kanak-kanak itu pada usia kecil juga singkat.

“Gunakan kesempatan yang ada, jangan apabila anak sudah meningkat dewasa, baru menyesal kerana tidak meluangkan masa berharga dengan mereka.

“Paling utama elak menjadi ibu bapa yang walaupun ada, namun diibaratkan seperti tiada,” katanya.

Hazhari turut memberi contoh bagi mendapatkan masa berkualiti walaupun dalam kesibukan:

Sentiasa mencari peluang pembelajaran di sekeliling

Jangan tersekat dengan gajet masing-masing. Pembelajaran untuk kanak-kanak tidak tertumpu dengan menggunakan teknologi semata-mata. Peluang pembelajaran mereka ada di sekeliling. Contohnya, ketika mengambil atau menghantar anak ke taska, tadika atau sekolah, banyakkan berbual dengan mereka terutama mengenai apa yang terjadi di sekolah.

Sumbangkan sesuatu yang berharga kepada taska atau tadika anak anda

Dari mata ibu bapa, mungkin kita rasakan barang yang tidak dipakai di rumah adalah benda terbuang dan tidak boleh digunakan lagi. Perlu diingat, imaginasi kanak-kanak tidak berpenghujung kerana mereka boleh menjadikannya sesuatu yang bermakna walaupun daripada barang terbuang.

Anda sebagai ibu bapa boleh mengajar menggunakan semula barang terbuang.

Sentiasa berbincang dengan guru anak

Walaupun sekejap, luangkan masa anda seketika. Kita amanahkan si kecil dididik gurunya, tetapi tidak bermakna boleh melepaskan sepenuh tanggungjawab untuk itu. Ingat, tadika atau taska bukanlah rumah tumpangan sementara ibu bapa yang sibuk bekerja.

Sertai aktiviti anak anda di tadika

Pada awal tahun, kebanyakan taska atau tadika sudah merancang pelbagai aktiviti tahunan untuk anak. Hari sukan, lawatan sambil belajar, hari kad laporan dan konsert persembahan antara aktiviti yang bakal diadakan. Jangan berpura-pura tidak tahu atau menggunakan alasan tidak ada masa kerana semua aktiviti itu kebiasaannya dirancang awal.

Emosi si kecil anda tentu terganggu tatkala ibu bapa lain bersungguh-sungguh menyokong anak masing-masing sedangkan anda sebagai ibu bapanya tidak hadir pada aktiviti itu. Jangan sesekali hantar orang gaji atau pengasuh anak untuk mewakili anda kerana anda sendiri sebagai ibu bapa perlu hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:15 AM