MEMILIKI wajah halus mulus dan manis dipandang.
MEMILIKI wajah halus mulus dan manis dipandang.
Siti Nadirah Hafidzin


BERTUBUH kecil molek dan raut wajahnya manis dipandang. Paras rupa wanita ini tampak sempurna kerana dia tidak perlu mengenakan solekan tebal atau aksesori berlebihan untuk tampil menarik.

Benar kata orang, dari mata turun ke hati. Memiliki wajah dan personaliti menyenangkan menjadi antara bonus kepada mana-mana wanita tanpa mengira usia.

Selain dikurniakan wajah manis, Nor Fazidah Abd Samad, 32, juga bijak bermain dengan warna dalam soal berfesyen menjadikan setiap foto yang dimuat naik dalam media sosial miliknya cukup indah ditatap.

Mungkin faktor kerjayanya sebagai perunding imej dan sering bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat menjadikan dia perlu bijak dalam mengekalkan kecantikan diri.

Pertemuan penulis tanpa dirancang dengan Nor Fazidah baru-baru ini berjaya mengorek rahsia kecantikan yang diamalkannya dan siapa sangka dalam menghampiri 2020, wanita manis ini masih mengamalkan petua kecantikan tradisional yang diturunkan ibunda tercinta.

Menurut Nor Fazidah, selain menggunakan produk kecantikan yang berada di pasaran dan sesekali menjalani rawatan wajah di pusat kecantikan, dia tetap mengamalkan petua tradisional yang diyakini lebih selamat dan berkesan.

NOR Fazidah mengamalkan petua kecantikan tradisional sejak remaja.
NOR Fazidah mengamalkan petua kecantikan tradisional sejak remaja.

“Sejak remaja iaitu di bangku sekolah lagi saya diajar untuk membuat skrub wajah dan badan sendiri iaitu dengan menggunakan beras pulut dan limau kasturi.

“Cara penyediaan skrub ini sangat mudah dan paling utama bahan yang digunakan juga biasanya ada di setiap rumah. Ibu mengingatkan supaya menggunakan skrub ini dua kali seminggu,” katanya.

Tambah Nor Fazidah, disebabkan usianya yang masih muda pada ketika itu membuatkan dia sering culas dan kurang percaya dengan amalan kecantikan itu.

“Ketika itu usia saya masih di awal remaja namun ibu berulang kali ingatkan supaya saya rajin menjaga kecantikan diri. Selepas mengamalkannya hampir 20 tahun kini saya dapat rasai sendiri manfaat yang terkandung di sebalik petua ibu ini.

“Ibu bukan saja menyuruh kami adik-beradik mengamalkannya bahkandia juga turut rajin memanfaatkan pelbagai petua kecantikan tradisional hingga kini,” katanya.

TIADA KESAN MUDARAT

Nor Fazidah berkata, petua kecantikan diamalkannya itu tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang memudaratkan malah membuatkan kulit wajah dan badannya kekal halus dan berseri.

“Cara penyediaannya juga amat mudah, hanya dengan mengisar beras pulut sehingga lumat kemudian ayak menggunakan penapis santan. Beras yang sudah diayak dicampur dengan perahan limau kasturi dan kacau rata.

SKRUB beras pulut dan limau kasturi buatan sendiri.
SKRUB beras pulut dan limau kasturi buatan sendiri.

“Selain digunakan pada wajah, skrub ini juga boleh digunakan pada badan dan kaki dan ia sangat membantu untuk mendapatkan kulit halus selain mengekalkan bau harum semula jadi,” katanya.

Menurutnya, diingatkan juga penggunaan skrub itu tidak boleh terlalu kerap dan disarankan hanya satu atau dua kali seminggu.

“Kepada wanita yang mengalami masalah kulit wajah bermasalah terutama berjerawat diingatkan juga supaya cuba skrub ini dalam kuantiti sedikit bagi mengenal pasti sama ada ia sesuai dengan kulit anda atau sebaliknya.

“Namun, walaupun kurang sesuai, skrub alami ini tidak akan membuatkan kulit anda rosak atau bertambah teruk,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga tidak sesekali malu untuk berkongsi petua itu walaupun ada yang beranggapan kaedah itu kolot.

“Untuk tampil cantik perlukan kesungguhan dan kerajinan selain perlu bijak menyesuaikan fesyen dengan penampilan diri anda. Saya tidak berasa kaedah ini rumit malah sangat gembira dengan hasilnya selepas mengamalkan.

“Kulit cantik dan sihat tidak terletak pada warna. Kulit yang cerah bukan lambang kecantikan. Walaupun anda berkulit gelap, anda tetap cantik sekiranya kulit bersih, bebas noda dan halus yang akan menaikkan keyakinan diri. Keyakinan diri ini yang akan membuatkan wajah anda berseri,” katanya.

TIP CARA SEDIA SKRUB BERAS PULUT

1. Beras pulut dikisar dan diayak

2. Beras yang diayak dicampur dengan perahan limau kasturi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:15 AM