RUMAH aset perlu dilindungi. - FOTO Freepik
RUMAH aset perlu dilindungi. - FOTO Freepik
Nurul Husna Mahmud


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 melaporkan nilai kerugian akibat banjir pada tahun berkenaan berjumlah RM755.4 juta.

Nilai tertinggi adalah membabitkan kerosakan kediaman iaitu sebanyak RM168.3 juta berbanding premis perniagaan RM53.2 juta.

Itu secara tidak langsung menjelaskan kepentingan pemilik hartanah untuk melindungi aset mereka menerusi insurans perlindungan tertentu.

Menurut Perunding Takaful Am, Md Nurul Khalid Koyube, dalam melindungi hartanah masih ramai pemilik keliru antara insurans rumah dengan insurans pinjaman rumah.

"Insurans pinjaman perumahan atau insurans gadai janji merujuk kepada dua jenis perlindungan iaitu 'Mortgage Reducing Term Takaful' (MRTT) dan 'Mortgage Level Term Takaful' (MLTT).

"Kedua-dua adalah produk insurans untuk perlindungan nyawa bagi jaminan kepada pinjaman perumahan atau gadai janji.

"Produk ini direka khusus menampung beban kewangan pinjaman perumahan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

"Ini sangat berbeza dengan perlindungan rumah atau harta yang sememangnya untuk melindungi hartanah itu dan isu rumah," katanya.

Tiada pengetahuan berkaitan polisi atau insurans membuatkan pemilik kurang jelas dengan kepentingan memiliki insurans rumah.

"Perlindungan insurans rumah yang sesuai dapat melindungi kewangan daripada risiko tertentu mengikut polisi dilanggan.

"Perlindungan itu meliputi kerosakan akibat kebakaran, kilat dan letupan domestik.

"Ia juga melindungi pembayaran balik ganti rugi untuk kerosakan akibat bencana alam seperti banjir, ribut taufan, ribut petir, angin kencang dan banyak lagi.

"Ada juga polisi atau perlindungan untuk kecurian yang membabitkan kemasukan secara paksaan dan keganasan dalam rumah atau akibat perbuatan khianat.

KEBAKARAN antara risiko dilindungi oleh perlindungan insurans rumah. - FOTO Pexels
KEBAKARAN antara risiko dilindungi oleh perlindungan insurans rumah. - FOTO Pexels

BANJIR antara bencana membawa kerugian besar pada pemilik hartanah.
BANJIR antara bencana membawa kerugian besar pada pemilik hartanah.

"Biasanya ia berlainan mengikut risiko dan nilai rumah," katanya.

Cakna pemilik rumah mengenai memiliki perlindungan atau insurans rumah masih rendah kerana tidak menyedari kepentingan insurans itu sehingga berdepan risiko seperti bencana alam atau kebakaran.

"Pengalaman sendiri, individu yang melanggan insurans rumah ini biasanya memiliki sejarah atau ahli keluarga atau kenalan rapat ditimpa musibah.

"Golongan ini yang sering memiliki polisi perlindungan insurans atau takaful untuk rumah. Polisi ini perlu diperbaharui setiap tahun, sama seperti memperbaharui insurans atau takaful kenderaan," katanya.

Tambah Md Nurul Khalid, melindungi rumah dengan insurans banyak memberikan kebaikan terutama mengurangkan bebanan kewangan pemilik apabila rumah mengalami kerosakan.

"Dalam satu kes pernah saya kendalikan membabitkan pelanggan yang membeli polisi perlindungan rumah untuk bapanya.

"Kira-kira selepas dua bulan dia beli polisi untuk ayahnya, berlaku banjir dan sebahagian rumah ayahnya musnah terutama di bahagian bumbung rumah.

"Dia terus hubungi saya dan minta khidmat nasihat untuk urusan tuntutan dengan pihak takaful. Alhamdulillah tuntutan berjalan lancar dan cepat. Pihak takaful menanggung kos membaiki bumbung rosak RM14,000 dengan caruman RM300 setiap bulan.

"Pemilik hartanah perlu teliti risiko dan mendapatkan insurans bersesuaian dengan keperluan rumah supaya ia menjadi pelaburan berbaloi.

"Saya sarankan golongan Muslim supaya membeli insurans jenis takaful yang patuh syariah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 6:44 AM