MOHAMAD Haslah   (dua dari kanan) bersama Tian Hock (dua dari kiri) selepas melancarkan pusat pameran rumah Levia Residence di Taman Shamelin Perkasa, semalam.
MOHAMAD Haslah (dua dari kanan) bersama Tian Hock (dua dari kiri) selepas melancarkan pusat pameran rumah Levia Residence di Taman Shamelin Perkasa, semalam.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad membangunkan projek baharunya, Levia Residence di Cheras dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM523 juta.

Projek pembangunan di atas tanah seluas 1.9 hektar itu membabitkan 778 unit di dua menara kediaman setinggi 36 tingkat dengan harga ditawarkan bermula RM684,000 seunit.

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, projek itu dijangka siap pada suku ketiga 2027.

Katanya, pembangunan itu menawarkan empat susun atur berbeza, memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama, profesional dan keluarga pelbagai generasi.

"Kami mereka bentuk Levia Residence dengan menawarkan pembeli pengalaman mewah selain menyasarkan pilihan menarik bagi individu yang mahukan suasana hotel premium dalam kediaman.

"Kita optimis, malah setakat ini, kita berjaya meraih 75 peratus kadar pengambilan unit projek ini, sejak ia dilancarkan Oktober lalu," katanya pada majlis pelancaran projek terbaharu itu di Galeri Levia Residence di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin.

Dalam pada itu, Lee berkata, pihaknya menyasarkan RM1.3 bilion jualan hartanah untuk semua projek mereka pada tahun berakhir 2024 berbanding RM1.2 bilion, tahun lalu.

"Prospek industri hartanah tahun ini dijangka lebih baik dengan persekitaran aktiviti ekonomi domestik yang semakin meriah dan memberangsangkan.

"Matrix Concepts juga berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1.3 bilion yang ditetapkan bagi tahun kewangan semasa (tahun berakhir Mac 2024)," katanya.

Apabila siap, Levia Residence akan dilengkapi dengan pelbagai 25 kemudahan yang dikelilingi landskap termasuk taman, taman herba, kolam infiniti 35 meter dan jakuzi, serta Sky Lounge dengan taman yang menawarkan pemandangan Menara Berkembar Kuala Lumpur, Merdeka 118 dan Tun Razak Exchange (TRX).

Lokasinya strategik kerana bersambung dengan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang dan berhampiran dengan Hospital Pantai Cheras dan USCI University.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:01 AM