RUMAH pertama milik Nurulhidayah dan suaminya
RUMAH pertama milik Nurulhidayah dan suaminya
Muhamaad Razis Ismail


MEMILIKI kediaman yang menepati kriteria atau cita rasa adalah impian hampir setiap orang.

Bagaimanapun ia bukanlah satu proses yang mudah kerana menuntut komitmen tinggi daripada bakal pemilik.

Banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk harga, jenis rumah, lokasi, kemudahan dan sebagainya sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagi Nurulhidayah Ja'par, 32, pengalaman 'memburu' rumah pertama sejak 2017 adalah kenangan yang tidak boleh dilupakan dalam hidupnya.

Biarpun sudah melihat hampir enam rumah, namun dia tidak terburu-buru dalam membuat keputusan kerana mahu memastikan kriteria yang diinginkan termasuk harga, jarak ke tempat kerja dan reka bentuk dipenuhi.

Nurulhidayah berkata, sebelum memiliki kediaman, dia tinggal di rumah keluarga mentuanya di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, dalam tempoh itu, dia dan suami berusaha mencari rumah pertama di sekitar Bangi, Kajang dan Semenyih sejak 2017 supaya berdekatan dengan tempat kerja dan keluarga mentua.

"Mengikut perancangan, kami ingin membuat pelaburan dahulu dengan membeli kondominium di Kajang namun tidak mendapat kelulusan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

"Kemudian kami beralih mencari rumah di sekitar Semenyih dan Bangi. Malah kami pernah ke Seremban. Hampir lima ke enam rumah yang kami lihat namun terpaksa ditolak kerana tidak menepati kriteria yang diinginkan.

"Untuk memiliki rumah, kami perlu teliti dan berhati-hati kerana ia membabitkan komitmen jangka masa panjang," katanya.

Menurutnya, dia sememangnya bercita-cita untuk memiliki kediaman sendiri pada usia muda atas nasihat ibu dan bapa.

"Bapa sangat menekankan supaya membeli rumah di atas tanah untuk keselesaan," katanya.

Katanya, ketika proses mencari rumah itu, dia tertarik dengan iklan jualan rumah di Serene Height yang terletak antara Bangi dan Semenyih.

RUANG tamu yang luas untuk keselesaan penghuni
RUANG tamu yang luas untuk keselesaan penghuni

"Saya sukakan nama taman ini dan kami buat keputusan untuk melihat sendiri kediaman ini. Saya tertarik dengan konsep terbuka rumah ini yang luas di ruang tamu, ruang makan dan dapur. Sementara ruang keluarga pula di bahagian atas dan bilik tidur utama.

"Selain itu, ia juga terletak berhampiran stesen kereta api, Lebuhraya Kaja

ng-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta kawasan tumpuan lain," katanya.

Kediaman berkenaan memenuhi kriteria yang diinginkan hingga mendorong dia dan suaminya, Mohamad Iqbal Iskandar, 32, membuat keputusan untuk membuat tempahan pada Disember 2018.

"Ketika membeli rumah dua tingkat ini, saya menerima pelbagai rebat dan harga menarik menerusi Kempen Pemilikan Rumah. Kini rumah yang dibeli pada harga RM507,000 itu dinilai pada RM600,000.

KEMUDAHAN taman permainan
KEMUDAHAN taman permainan

"Sebenarnya mengikut perancangan asal, rumah dijangka siap sekitar Oktober 2020 namun berlaku kelewatan dan kami akhirnya menerima kunci pada Oktober 2021," katanya.

Nurulhidayah menyifatkan, pembelian kediaman pertama ini adalah berbaloi kerana menepati pakej yang diinginkan.

"Lokasi kediaman tidak jauh dari tempat kerja yang hanya mengambil masa selama 30 minit. Selain itu, pelbagai kemudahan termasuk taman permainan, pengawal keselamatan dan sebagainya turut disediakan untuk keselesaan penghuni.

"Paling saya suka adalah komuniti di sini sangat baik dan aktif mengadakan pelbagai program untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Bagi saya, mempunyai jiran yang baik adalah satu rezeki tidak ternilai," katanya.

NURULHIDAYAH bersama suaminya  teruja selepas mengambil kunci kediaman pertama pada Oktober 2021
NURULHIDAYAH bersama suaminya teruja selepas mengambil kunci kediaman pertama pada Oktober 2021

Tambahnya, selepas memiliki kediaman sendiri, dia perlu lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

"Selepas menerima gaji, saya selesaikan dahulu komitmen dan keperluan asas. Pada masa sama, saya tidak lupa untuk membuat simpanan sebagai tabung kecemasan," katanya.

Dia turut menasihatkan kepada bakal pembeli rumah supaya kaji dan dapatkan maklumat lengkap berkenaan kediaman yang ingin dimiliki, biarpun mengambil masa agak lama.

MEMANFAATKAN ruang dengan menanam pokok hiasan
MEMANFAATKAN ruang dengan menanam pokok hiasan

"Antara perkara yang perlu dititik beratkan termasuk harga rumah, saiz dan keluasan, lokasi, kemudahan sekeliling, status rumah, bayaran bulanan, kejiranan dan jarak ke tempat kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 7:00 AM