SENTIASA pastikan rumah dalam keadaan kemas dan teratur.
SENTIASA pastikan rumah dalam keadaan kemas dan teratur.
Muhamaad Razis Ismail


MELIHAT kediaman yang dihias bak hotel, tidak siapa menyangka pemiliknya seorang yang masih bujang.

Lebih menarik, hampir keseluruhan perabot dan aksesori ruang dalaman termasuk panel kayu, pasu besi serta meja dapur dihasilkan sendiri Muhammad Ferdaus Zakariah, 32. Begitu juga dengan kerja-kerja mengecat.

Sentuhan kreativiti, jejaka kelahiran Melaka ini boleh dilihat di setiap sudut rumah teres dua tingkat di Bandar Putera 2, Klang, Selangor ini yang baharu dibeli empat tahun lalu.

Bagi penasihat sumber manusia di sebuah syarikat cari gali minyak ini, selain dapat menjimatkan wang, ia adalah satu kepuasan kepada dirinya kerana menghias sendiri kediaman tanpa mengupah pihak lain.

Dia mengakui kreativiti sendiri dalam menghasilkan sesuatu barang yang diinginkan memberikan kepuasan.

"Sebelum buat sesuatu saya banyak merujuk tutorial di internet dan membuat anggaran kos yang bersesuaian.

"Selain dapat menjimatkan wang, ia beri satu kepuasan luar biasa apabila berjaya hasilkan sesuatu dengan titik peluh sendiri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Muhammad Ferdaus berkata, minat mendalam terhadap dekorasi kediaman sudah tercetus sejak kecil.

MUHAMMAD Ferdaus (kiri) bersama ibu dan adiknya.
MUHAMMAD Ferdaus (kiri) bersama ibu dan adiknya.

"Sejak dari kecil saya sudah dididik untuk memastikan rumah sentiasa kemas dan mak banyak tunjukkan contoh baik yang saya pelajari secara tidak langsung mengenai hiasan dalaman.

"Selain itu, saya suka tengok di internet dan majalah untuk memperoleh idea untuk tatahias rumah biarpun tidak memiliki latar belakang bidang itu," katanya.

Untuk kediamannya ini, dia mengetengahkan konsep minimalis dengan menyuntik elemen industri dan moden.

RUANG keluarga di tingkat atas.
RUANG keluarga di tingkat atas.

"Saya tidak suka ruang di dalam rumah terlalu sarat dengan perabot dan hiasan selain memastikan setiap barang di dalam rumah ini mempunyai fungsi tersendiri.

"Susun atur perabot juga memainkan peranan penting untuk pastikan ruang yang terhad kelihatan lebih luas dan selesa," katanya.

Melihat kepada pemilihan rona, Muhammad Ferdaus bijak menggunakan warna terang seperti biru, kuning dan hijau sama ada di dinding serta perabot.

"Saya suka warna seperti ini untuk menyerlahkan dan menonjolkan kawasan tertentu.

 POKOK hiasan di luar rumah supaya nampak lebih segar.
POKOK hiasan di luar rumah supaya nampak lebih segar.

"Sebagai contoh di ruang santai, saya gunakan warna biru pada dinding dan sofa berwarna kuning supaya apabila masuk sahaja ke dalam rumah, mata akan terus tertumpu di kawasan itu," katanya.

Dia turut menggunakan warna lebih lembut di kawasan tertentu supaya nampak lebih seimbang.

Lebih menarik hampir setiap ruang terdapat bunga orkid, pokok kaktus dan pokok hiasan untuk memberi nilai tambah di ruang tertentu di dalam dan luar rumah.

MENGGUNAKAN warna terang untuk menyerlahkan ruang.
MENGGUNAKAN warna terang untuk menyerlahkan ruang.

"Elemen semula jadi turut saya terapkan untuk kediaman ini kerana saya juga suka berkebun.

"Biasanya saya akan pilih pokok yang mudah dijaga dan tidak memerlukan penjagaan rumit," katanya.

Jelasnya, menghias rumah memberi kepuasan tersendiri kepada dirinya apabila kediaman sentiasa dalam keadaan cantik, kemas dan teratur.

"Seperti berada di bilik hotel, saya mahu berasa tenang dan selesa di rumah selepas seharian berada di tempat kerja.

"Tidak salah melabur sedikit mengikut kemampuan masing-masing untuk keselesaan kita juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 1:00 AM