SEKTOR hartanah akan kembali pulih dalam masa terdekat.
SEKTOR hartanah akan kembali pulih dalam masa terdekat.
Muhamaad Razis Ismail


Hampir dua tahun sektor hartanah dan perumahan di negara ini berada dalam keadaan suram akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Dalam tempoh itu pelbagai langkah pencegahan dilakukan bagi mengekang penularan virus ini sehingga menjejaskan sektor hartanah dan perumahan.

Bagaimanapun susulan pengumuman kerajaan yang memberi pelbagai kelonggaran termasuk yang sangat dinantikan iaitu kebenaran rentas negeri dilihat memberi sinar baharu kepada sektor ini.

Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor Ts Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, pada permulaan tahun 2020, pasaran merekodkan sebanyak 72,897 transaksi berjumlah lebih RM28.5 bilion.

"Bagaimanapun, masuk suku kedua 2020, berlaku penurunan sebanyak 41.1 peratus kepada 42,609 transaksi berjumlah RM18.35 bilion.

"Pada ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), transaksi menunjukkan penurunan yang sangat ketara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun 2022, ramai pakar menjangkakan pasaran hartanah akan kembali pulih seperti biasa.

PEMAJU perlu kreatif menarik minat golongan muda.
PEMAJU perlu kreatif menarik minat golongan muda.

"Bagaimanapun, jumlah kediaman tidak terjual dijangka meningkat sehingga 12 peratus berikutan kesan daripada pandemik yang berlaku pada 2020 dan 2021.

"Hal ini kerana ramai pemaju terus menjalankan projek pembinaan rumah tanpa membuat analisis pasaran dan tidak mengetahui keperluan pengguna," katanya.

Jelasnya, pengumuman kerajaan baru-baru ini yang memberi kebenaran rentas negeri dilihat dapat memberi impak positif kepada sektor hartanah dan perumahan.

"Kelonggaran ini banyak memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk menjalankan kerja-kerja ubah suai.

"Bagi sektor hartanah dan pembangunan, sudah tentu ia berita baik kepada pemaju untuk mereka kembali merancakkan kembali sektor pembinaan di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohd Zairul melihat dalam tempoh ini, masih ramai pengguna atau pembeli yang terkesan terutama daripada segi kewangan untuk memiliki hartanah.

"Namun masih ada golongan yang menangguk di air keruh. Oleh kerana tekanan pembeli yang rendah, pemaju terpaksa menawarkan pakej kewangan yang lebih menarik.

"Jadi, golongan ini mengambil kesempatan sebagai peluang untuk menambah aset sedia ada," katanya.

Mengulas lanjut, kempen pemilikan rumah yang dilanjut sehingga penghujung tahun ini dilihat dapat membantu menyemarakkan kembali sektor hartanah.

"Saya mencadangkan kempen ini dipelbagaikan dengan pendekatan yang lebih kreatif untuk menarik orang muda yang baru bekerja memiliki kediaman menerusi kempen ini.

"Kajian lebih mendalam perlu dijalankan untuk membantu mereka menerusi pakej yang lebih menarik," katanya.

Bagi lot komersial pula, Mohd Zairul berpandangan pemaju perlu mengubah lot komersial menjadi pejabat yang lebih fleksibel dengan menawarkan kemudahan lebih menarik.

AKTIVITI rentas negeri memberi impak positif kepada sektor hartanah dan perumahan.
AKTIVITI rentas negeri memberi impak positif kepada sektor hartanah dan perumahan.

"Sehingga kini masih banyak syarikat yang mengambil pendekatan bekerja dari rumah dan hanya sekali sekala akan ke pejabat.

"Oleh itu ruang di pejabat perlu lebih fleksibel dengan kemudahan menarik seperti ini dapat menarik minat syarikat yang beroperasi secara hibrid," katanya.

Dalam usaha memulihkan kembali sektor hartanah ini ia berkait rapat dengan pengumuman Belanjawan 2022 yang akan diumumkan hari ini.

"Saya melihat perlu lebih banyak insentif disediakan kepada pembeli muda dan pembeli rumah pertama termasuk memperbanyakkan skim sewa beli rumah atau lebih dikenali sebagai 'rent to own' (RTO).

"Untuk merealisasikan perkara ini ia memerlukan koordinasi dan kolaborasi antara kerajaan dengan institusi kewangan untuk memberi insentif ini terutama golongan yang menyewa di kawasan bandar," katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat memperbanyakkan perumahan mampu milik dengan harga siling dengan mekanisme kewangan mengikut kadar gaji semasa mereka yang baru bekerja.

"Kita tidak mahu pemaju leka dengan menyatakan rumah yang dijual dengan harga tertentu masih dibeli sedangkan ia tidak menggambarkan keadaan semasa.

"Pada masa sama, undang-undang perlu lebih ketat untuk memastikan semua insentif yang diumumkan kerajaan sampai ke sasarannya dan bukan hanya boleh dimanipulasi oleh individu atau kumpulan tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 6:40 AM