HEZFAREEZA (paling kanan) bersama keluarga ke Singapura hujung tahun lalu.
HEZFAREEZA (paling kanan) bersama keluarga ke Singapura hujung tahun lalu.
Lizam Ridzuan


Hujung tahun antara waktu terbaik membawa keluarga bercuti dan tidak terkecuali buat Hezfareeza Ahmad, 44, dan suami, Johannis Johari, 45, yang membawa dua anak mereka ke Singapura.

Mungkin negara jiran seberang tambak itu lokasi biasa bagi kebanyakan orang namun jika diisi dengan aktiviti yang menarik sudah pasti ia akan menjadi luar biasa.

Perjalanan hari pertama mereka dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru menggunakan kereta dan memasuki Singapura menaiki kereta api dari JB Sentral ke Woodlands, Singapura.

Meskipun perjalanan memakan masa lima minit saja namun sudah cukup menawarkan pengalaman yang berbeza terutama buat anak-anaknya.

"Perjalanan sangat selesa dan lancar sepanjang melepasi kawasan pemeriksaan imigresen kedua-dua negara dan selepas itu kami terus ke Bedok dan menginap empat hari di sana," katanya.

Di Bedok, Hezfareeza sekeluarga menginap di satu apartmen di Bedok North Avenue dan antara perkara wajib perlu dilakukan di kawasan itu ialah menikmati Sup Tulang Merah Haji Kadir dan ABC Store yang menawarkan produk pelbagai guna pada harga yang murah.

Kemudian hari yang sama mereka meneruskan pelbagai aktiviti seperti ke Gardens by The Bay.

Di sana terdapat Cloud Forest dengan pengalaman umpama dalam filem Avatar dan ia begitu berbaloi serta menawarkan suasana yang sangat berbeza selain banyak sekali ruang untuk bergambar.

Selepas itu mereka ke Flower Dome juga Gardens by The Bay yang mana dikatakan semua bunga yang ada di seluruh dunia ditanam di sana.

Usai di lokasi itu mereka terus ke Arab Street bagi menikmati makan malam di Restoran Zam Zam yang terkenal dengan martabak dan nasi beriyani mengakhiri percutian hari pertama.

"Keterujaan diteruskan pada hari kedua dan kami seawal pagi bergerak ke kawasan Dempsey Hill dengan lokasi mesra Instagram iaitu Muzium Aiskrim yang juga banyak menawarkan suasana untuk bergambar kenangan serta anak-anak gembira di lima stesen ais krim yang ditawarkan di sana," kata Hezfareeza.

CLOUD Forest seakan-akan dalam filem Avatar.
CLOUD Forest seakan-akan dalam filem Avatar.

SEKITAR kawasan Flower Dome.
SEKITAR kawasan Flower Dome.

Pada sebelah petang mereka sekeluarga menghabiskan masa di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi untuk melihat tarikan terbaharu iaitu The Wonderfall bentuk digital dengan ketinggian 14 meter dan lebar 17 meter serta kawasan taman buatan menjadikan ia seakan-akan dunia sebenar.

Kemudian pada sebelah malam selepas menikmati makanan di sebuah restoran berdekatan Mustafa Centre di Jalan Syed Alwi, Hezfareeza sekeluarga mengambil peluang membeli-belah di lokasi itu yang terkenal sebagai ikonik pelancongan di Singapura itu.

"Namun untuk membeli minyak wangi hanya satu botol sahaja tidak dikenakan cukai dan selebihnya ia perlu dibayar sebaik tiba di pusat imigresen waktu hendak kembali ke Malaysia," kongsinya.

Hari ketiga adalah hari terakhir mereka di Singapura dan kali ini memutuskan bersiar-siar di kawasan sekitar bandar raya seperti Marina Bay Sands dan ikon terkenal Singapura iaitu Merlion sebelum pada sebelah petang ke Zoo Singapura dan Safari Malam.

"Kami menaiki tram di kawasan itu dan singgah di beberapa lokasi yang terdapat pertunjukan haiwan serta dapat melihat dengan lebih dekat haiwan-haiwan yang hanya selalu ditonton di televisyen atau dalam talian berada di depan mata," katanya.

Mereka sekeluarga menghabiskan masa selepas itu ke Orchard Road yang terkenal dengan lokasi membeli-belah barangan premium dan mewah. Kawasan itu dipenuhi hiasan dan lampu-lampu musim perayaan serta sambutan tahun baru di sekitarnya.

Hari keempat waktu untuk pulang ke Johor Bharu dan selepas kembali ke tanah air mereka meneruskan percutian dengan lokasi Ice Cream Project iaitu kedai aiskrim tempatan dari Johor di Jalan Dhoby.

MELAWAT Muzium Aiskrim.
MELAWAT Muzium Aiskrim.

LOKASI restoran makanan pilihan pelancong.
LOKASI restoran makanan pilihan pelancong.

"Aiskrim ini dibuat dengan cecair nitrogen sebagai antara proses pembuatan dan segala bahan digunakan segar setiap hari dan sebaik memasuki kedai ada dua tangki besar diletak di tepi pintu masuk utama di sebelah forklift warna merah jambu yang tampil unik," katanya

Selepas itu mereka singgah di Johor Premium Outlet dan kemudian terus ke Putri Harbour untuk menginap di sebuah apartmen di situ dan pada keesokan harinya meneruskan perjalanan ke Desaru pula.

Hezfareeza dan keluarga menghabiskan masa di Adventure Waterpark di Desaru dan sememangnya ia lokasi kegembiraan buat kanak-kanak cuma untuk memasuki kawasan itu katanya perlu sistem ditambah baik dengan pembeli tiket secara dalam talian atau 'walk-in' perlu diasingkan laluannya bagi mengelakkan kesesakan di pintu masuk terutama ketika musim cuti sekolah.

Selesai mandi-manda, mereka kembali pulang ke Puteri Harbour dan menikmati makan malam seperti sup kambing, 'chicken chop' dan lain-lain dan menutup hari itu dengan cukup indah serta sempurna.

Keesokan harinya Hezfareeza sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur dan memori di seberang tambak dan Johor akan terus menjadi kenangan manis mereka sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 7:01 AM