KHAIRUL Azmeer (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang teka berat buah durian, Eikmal Hazim Othman, 22, ketika Program Lawatan Penanda Aras PPRT Daerah Padang Terap dan PROSPEK Pedu.
KHAIRUL Azmeer (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang teka berat buah durian, Eikmal Hazim Othman, 22, ketika Program Lawatan Penanda Aras PPRT Daerah Padang Terap dan PROSPEK Pedu.
Noorazura Abdul Rahman


KUALA NERANG: Mukim Pedu bakal dikenali sebagai lokasi pengeluaran durian pelbagai jenis berkualiti tinggi selepas Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membangunkan projek Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di 12 kampung di kawasan itu.

Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA Khairul Azmeer Abu Bakar berkata, projek membabitkan 312 pengusaha tanaman durian dengan keluasan tanah 259.706 hektar.

"Sebanyak 20,000 pokok terdiri dari pelbagai jenis pokok klon dan pokok kampung sudah sedia ada dan ditanam sejak tahun lalu dengan tempoh pembangunan hingga lima tahun membabitkan kos RM8 juta.

"Tidak mustahil dengan kerjasama semua pihak durian PROSPEK Pedu boleh menjadi alternatif terbaharu penggemar durian selain durian Batu Kurau, Balik Pulau mahu pun Raub," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pesta Durian PROSPEK Pedu di Dataran Dewan Kampung Seladang Rebah, Pedu di sini.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Padang Setol, Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang, Kampung Tong Pelu dan Kampung Kepala Batas.

Menurut Khairul Azmeer, KEDA membantu pengusaha tanaman durian dengan memberi bantuan baja tanaman dan kursus supaya hasil diperoleh berkualiti tinggi.

Katanya, ia dapat mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui program peningkatan pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menaiktaraf prasarana di kampung sedia ada.

KEHIDUPAN Abdul Ghani kini lebih selesa selepas memiliki rumah sendiri menerusi program PPRT.
KEHIDUPAN Abdul Ghani kini lebih selesa selepas memiliki rumah sendiri menerusi program PPRT.

Terdahulu, Khairul Azmeer bersama kakitangan KEDA mengadakan lawatan penanda aras Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ke rumah dua penerima di mukim Pedu.

Beliau berkata, sehingga kini 86 rumah PPRT dibina dan 37 lagi dibaik pulih dengan kos RM6.2 juta.

Jelas beliau, KEDA antara agensi pelaksana PPRT di Kedah bermula daripada siasatan hingga pembinaan termasuk semakan pemantauan selepas pembinaan.

"KEDA berharap gerak kerja ini dapat memperkemas sistem penyampaian dan perkhidmatan dalam membantu penduduk luar bandar," katanya.

Sementara itu, penerima rumah PPRT, Fadil Arifin, 70, berkata, dia bersyukur menerima rumah baharu selepas rumah didiami 40 tahun dimakan anai-anai.

FADIL dan isteri Badariah Mohd Salleh bersyukur dapat memiliki rumah baharu.
FADIL dan isteri Badariah Mohd Salleh bersyukur dapat memiliki rumah baharu.

Katanya, dia tidak menyangka dipilih menerima rumah baharu itu.

"Rumah ini sering dimasuki air bila hujan lebat, lantai rumah pula dimakan anai-anai, saya hendak bina rumah baharu tak mampu.

"Mujurlah pihak KEDA prihatin dengan nasib saya sekeluarga, terima kasih kepada kerajaan kerana bantu rakyat memerlukan, selepas ini saya dapat tinggal di rumah selesa dan tak risau lagi rumah dimasuki air," kata datuk kepada 21 cucu itu.

Seorang lagi penerima, Abdul Ghani Abdul Rahman, 47, berkata, dia kini lebih selesa dapat memiliki rumah sendiri menerusi program PPRT.

Menurutnya, dia tidak mampu membina rumah sendiri kerana hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM800 sebulan.

"Sebelum ini saya tinggal bersama orang tua, apabila ada rumah sendiri pasti rasa lebih selesa kerana ada tiga bilik.

"Saya nak ada duit 'seketul' untuk bina rumah macam ni tak mampu, Alhamdulillah..syukur dipilih KEDA untuk dapat rumah PPRT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 6:20 AM