MELEWATI kawasan pergunungan.  FOTO Trans.Mountain
MELEWATI kawasan pergunungan. FOTO Trans.Mountain
Nurul Husna Mahmud

MESKIPUN Indonesia antara negara jiran terhampir dengan Malaysia, masih banyak destinasi yang belum sempat penulis jelajahi.

Pesona dimiliki negara itu turut terletak pada kepelbagaian etnik dan kaum membuatkan itenari tahunan penulis antaranya mesti mengunjungi festival unik diraikan penduduk tempatan.

Pada Ogos tahun lalu, kesempatan berkunjung ke destinasi tanah tinggi Dieng di wilayah Kabupaten Banjarnegara dan Kabupaten Wonosobo antara memori paling manis buat penulis bersama tiga kenalan.

Sebenarnya dua daripada kenalan penulis pernah sampai dua tahun sebelumnya menceritakan mengenai festival budaya unik yakni upacara pemotongan rambut gimbal anak tempatan.

Menurut mereka, pengunjung dari serata Indonesia mahupun luar sanggup menempuh perjalanan lima hingga enam jam baik dari lapangan terbang Semarang atau Jogjakarta semata-mata ingin menyaksikan upacara unik berkenaan.

Ringkasnya upacara ini diadakan sejak sebelum penduduk tempatan memeluk agama Islam apabila ada kepercayaan yang rambut gimbal (menyerupai gaya rambut dreadlock atau berpintal-pintal) anak disimpan sejak lahir sehingga tiba pada umur tertentu diadakan upacara memotongnya, potong gombak.

CABARAN buat yang gayat apabila bergambar di pinggir puncak untuk rakam bersama Telaga Warna. FOTO Trans.Mountain
CABARAN buat yang gayat apabila bergambar di pinggir puncak untuk rakam bersama Telaga Warna. FOTO Trans.Mountain

PEMANDANGAN bukit Sikunir dikongsi Indra. FOTO Trans.Mountain
PEMANDANGAN bukit Sikunir dikongsi Indra. FOTO Trans.Mountain

Sebelum ini upacara disusuli ritual tertentu termasuk bacaan mantera kini diganti dengan doa di Candi Arjuna. Kanak-kanak dimandi dan dikenakan pakaian cantik sebelum mereka meminta hajat yang perlu ditunaikan oleh orang tuanya. Jika tidak, dipercayai akan ditimpa bala seperti sakit.

Rambut berkenaan akan dihanyutkan ke Telaga Warna yang airnya berhilir ke Pantai Selatan dan kembali kepada 'sang ratu' sebagai penutup kepada upacara berkenaan.

Menariknya meskipun terpaksa berasak-asak bersama ribuan pengunjung dari pelosok republik, penulis dapat mendengar hajat seorang anak kecil yang memohon termasuk inginkan gajet, wang mahupun makanan kegemaran seperti bakso daripada orang tua masing-masing.

Berbalik tarikan daerah itu, sebenarnya daerah pergunungan berkenaan memiliki panorama kedesaan yang mendamaikan selain beberapa lokasi merakam gambar unik.

Kami berkesempatan menjengah Telaga Warna dari puncak bukit dan berpeluang merakam foto menarik.

Walaupun mendebarkan kerana mahu hasilkan rakaman terbaik, pengunjung perlu berdiri di permukaan batu di pinggir bukit dan sebenarnya ia berisiko.

MELEPASKAN lempion. FOTO Trans.Mountain
MELEPASKAN lempion. FOTO Trans.Mountain

PENULIS (tiga dari kiri) bersama kenalan dan rakan rombongan dari Indonesia. FOTO Trans.Mountain
PENULIS (tiga dari kiri) bersama kenalan dan rakan rombongan dari Indonesia. FOTO Trans.Mountain

Bergetar juga bibir apabila membuang pandangan ke Telaga Warna yang lebih menyerupai tasik terbentuk disebabkan faktor semula jadi di kawasan gunung berapi itu.

Tarikan itu sudah boleh difahami menerusi namanya iaitu air telaga atau kawasan takungan itu berubah warna antaranya hijau, kuning dan biru.

Menurut warga tempatan dan pemandu pelancong Trans.Mountain, Indra memaklumkan ia berubah warna disebabkan cuaca, waktu dan kedudukan ketika melihatnya. Faktor lain disebabkan kandungan belerang atau sulfur di permukaan telaga apabila terbias cahaya matahari.

Selain itu, lokasi lain boleh dikunjungi ialah Bukit Sikunir di Desa Sembungan iaitu desa tertinggi di Jawa Tengah.

Bukit Sikunir berada pada ketinggian 2,350 meter dari paras laut menjadi 'port' kegemaran pemburu matahari terbit kerana sinaran warna matahari yang kekuningan seperti kunir atau kunyit membuat masyarakat setempat menamainya sikunir. Kunir adalah bahasa Jawa untuk kunyit.

KONSERT disediakan untuk menghiburkan pengunjung. FOTO Trans.Mountain
KONSERT disediakan untuk menghiburkan pengunjung. FOTO Trans.Mountain

UPACARA ‘potong gombak’ iaitu memotong rambut gimbal. FOTO Trans.Mountain
UPACARA ‘potong gombak’ iaitu memotong rambut gimbal. FOTO Trans.Mountain

Meskipun tidak berpeluang menyertai pendakian ke bukit berkenaan disebabkan kepenatan sebelumnya, Indra sempat kongsikan foto menarik bersama kumpulan rombongan yang lain.

Mengenai juadah tempatan, semestinya bersarapan dengan kopinya yang sedap.

Penulis bukanlah penggemar kopi, tetapi 'selera' bertukar kerana pada suhu setiap pagi kira-kira 14 hingga 10 darjah Celsius membuatkan minuman itu paling enak sebagai pembuka selera pagi.

Tidak lupa selain berkesempatan menghadiri konsert pada malamnya, keseronokan adalah ketika aktiviti melepaskan 'lempion' atau tanglung ke udara sebaik jarum menunjukkan jam 12 tengah malam. Ia memberi suasana malam cukup indah sekali gus menutup siri lawatan ke daerah cukup unik itu.

KOPI minuman mesti dicuba pengunjung.
KOPI minuman mesti dicuba pengunjung.

CANDI Arjuna antara binaan sejarah dan ikonik di Dieng. FOTO Trans.Mountain
CANDI Arjuna antara binaan sejarah dan ikonik di Dieng. FOTO Trans.Mountain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 7:01 AM