MODEL kenderaan terbang turut dipamerkan.
MODEL kenderaan terbang turut dipamerkan.
Isma Ismail


(Yang ke Jepun baru-baru ini sempena acara Japan Mobility Show (JMS 2023)

Pameran automotif terbesar di Asia dan antara lima yang utama di dunia kembali semula pada tahun ini dan kali pertama di bawah jenama baharu iaitu Pameran Mobiliti Jepun (JMS) 2023.

JMS 2023 melambangkan evolusi dan fokus pameran yang diperluaskan, yang tidak lagi mengetengahkan teknologi dan reka bentuk kereta secara eksklusif, tetapi secara menyeluruh bagi mobiliti masa depan.

Ini merangkumi pelbagai jenis kenderaan dan konsep termasuk kenderaan sifar pelepasan (ZEV), motosikal dan penyelesaian mobiliti generasi akan datang.

Pameran di Big Sight, Tokyo pada 28 Oktober hingga 5 November lalu itu sebelum ini dikenali sebagai Tokyo Motor Show.

Ia kali keenam diadakan di Big Sight sejak diperkenalkan pada 1954 anjuran Persatuan Pengilang Automobil Jepun (JAMA).

Pengerusinya, Akio Toyoda mengesahkan 1.11 juta pengunjung hadir pada JMS 2023 dengan 475 syarikat automotif dan industri rantaian menyertai pameran itu termasuk gergasi kenderaan elektrik (EV) China, BYD selain beberapa nama besar lain iaitu Nissan, Honda, BMW, Toyota, Daihatsu dan juga Isuzu.

Untuk JMS 2023 ini, kenderaan elektrik generasi akan datang, kereta terbang dan robot futuristik menjadi tumpuan pempamer.

Dengan peralihan kepada kenderaan dipacu bateri yang semakin pesat di seluruh dunia, pameran itu diadakan pada masa yang penting untuk pembuat kereta Jepun kerana mereka berusaha mengejar saingan luar negara seperti Tesla Inc dalam pembangunan EV.

SEBANYAK 475 syarikat automotif dan industri rantaian menyertai JMS 2023.
SEBANYAK 475 syarikat automotif dan industri rantaian menyertai JMS 2023.

KERETA konsep menggunakan teknologi eco untuk perlumbaan turut dipamerkan.
KERETA konsep menggunakan teknologi eco untuk perlumbaan turut dipamerkan.

MOTOSIKAL lumba juga boleh dilihat di JMS 2023.
MOTOSIKAL lumba juga boleh dilihat di JMS 2023.

KAWASAKI juga memperkenalkan motosikal keluarannya yang menggunakan teknologi hibrid.
KAWASAKI juga memperkenalkan motosikal keluarannya yang menggunakan teknologi hibrid.

Sepanjang pameran itu Toyota Motor, sebagai pembuat kereta terbesar di dunia melancarkan LF-ZC, model konsep EV generasi akan datang di bawah jenama Lexus yang dijangka dikeluarkan pada 2026.

Honda Motor pula memperkenalkan model keluarannya Cruise Origin, sebuah EV pandu sendiri dibangunkan bersama dengan General Motors dan anak syarikat Cruise LLC.

Kenderaan tanpa tempat duduk pemandu atau stereng itu dijangka bakal digunakan untuk perkhidmatan teksi tanpa pemandu pada 2026.

Nissan Motor pula memperkenalkan kenderaan konsepnya di bawah tema 'Hyper' dan tampil dengan reka bentuk futuristiknya.

Tidak seperti kebanyakan pesaing dari Jepun yang memberi tumpuan kepada kereta konsep, BYD pula memaparkan model EV sedia ada yang dilancarkan di dalam dan di luar Jepun untuk menawarkan pelanggan pilihan lebih realistik.

Selain pameran daripada syarikat pengeluar kereta itu, terdapat juga penyertaan daripada pengeluar motosikal utama dunia iaitu Kawasaki, Yamaha dan juga Suzuki.

Begitu juga dengan pengeluar kenderaan berat yang tidak mahu melepaskan peluang menyertai pameran sebesar itu.

Terdapat juga ruang pameran untuk beberapa segmen kenderaan seperti camper van dan caravan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:49 AM