TOP Secret Gold Nissan GTR.
TOP Secret Gold Nissan GTR.
Lizam Ridzuan


DIANGGARKAN lebih 90,000 pengunjung menghadiri acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 (TASKL 2023) yang julung kali diadakan di Mitec, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara berasal dari Jepun sejak 1983 adalah bagi menyerlahkan bakat dan kreativiti dalam modifikasi dan talaan kenderaan domestik Jepun (JDM) yang kemudian diperluaskan kepada jenama dari seluruh dunia.

Selain Kuala Lumpur, Tokyo Auto Salon pernah diadakan di Singapura pada 2013 dan Thailand sejak 2012 menerusi Bangkok Auto Salon.

Untuk TASKL 2023 pelbagai kereta dengan ciri menarik dipamerkan antaranya Top Secret Gold Nissan GTR yang kemudian dibeli oleh individu dari negara ini pada harga yang tidak dinyatakan, Active Carbon R32 GT-R Rb30 Kai Concept, Forte c7 Corvette Forte Wide Body, Spoon Honda Nsx dan banyak lagi.

Turut dimeriahkan dengan pameran model kereta oleh pemilik tempatan yang digunakan dalam filem Fast and Furious dan Initial D, seperti Toyota Supra, Nissan Skyline, Honda S2000, Mazda RX-7, Mitsubishi Lancer Evolution dan Toyota AE86.

Turut mengambil bahagian ialah syarikat aksesori selepas pasaran (after market), talaan suspensi dan enjin tempatan, hot wheels dan pameran pengeluar kereta OEM seperti Mitsusbishi dan Isuzu.

Nissan menerusi Edaran Tan Chong Motor (ETCM) juga memperkenalkan model Almera dan Serena S-Hybrid Edisi Auto Salon yang turut terjual dalam acara ini.

EDISI terhad Toyota 2000GT.
EDISI terhad Toyota 2000GT.

Selain itu TASKL 2023 juga menampilkan syarikat talaan utama Jepun seperti Top Secret, Spoon, HKS dan Greedy dengan pengasasnya turut 'turun padang' seperti Smoky Nagata (Top Secret) yang sentiasa menjadi buruan pengunjung dan tarikan utama acara ini.

Turut hadir ialah Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor yang mempamerkan kereta Nissan Skyline GT-R (R34) Nismo J-Tune restorasi penuh oleh Nismo Jepun juga tarikan untuk pengunjung bergambar.

TASKL 2023 dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ia juga menerima tetamu khas VIP daripada keluarga diraja Johor serta penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Selain pameran turut diadakan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Kecemerlangan Automotif & Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) yang berkerjasama dengan Syarikat Fujii Engineering yang berpengkalan dari Suzuka City, Jepun.

 MOU antara UNIMAP dan Fujii Engineering.
MOU antara UNIMAP dan Fujii Engineering.

Kerjasama berkenaan membabitkan bidang penyelidikan Automotif EV (Kenderaan Elektrik) termasuk berkongsi kepakaran dan juga latihan industri dimana UniMAP akan mula menghantar pelajarnya ke Fujii Engineering Jepun bagi mengikuti latihan kerja menghasilkan produk yang akan dibangunkan bersama.

Ia merealisasikan misi syarikat Fujii Engineering untuk mencipta kenderaan elektrik yang paling kompetetif dari pasaran melalui kerjasama itu seterusnya dapat memasarkannya di Jepun serta negara yang berpotensi di Asean.

SAMBUTAN hebat pengunjung.
SAMBUTAN hebat pengunjung.

TASKL 2023 adalah kerjasama membabitkan MUSE Group Asia, Element X Strategies dan San Ei Corporation sebagai pemegang hak Tokyo Auto Salon di Jepun.

Selepas lebih 40 tahun dianjurkan ia adalah pameran yang menjadi pilihan utama buat peminat dan pempamer permotoran antarabangsa dengan pembabitan lebih 1,000 kenderaan dan 500 pempamer dengan 4,000 reruai termasuk 300,000 pengunjung hadir ke acara itu setiap tahun.

SITI Nurhaliza dan Datuk K.
SITI Nurhaliza dan Datuk K.

Selepas sambutan yang menggalakkan penganjur TASKL 2023 mempertimbangkan bakal menjadikan ia acara tahunan meskipun perancangan awal diadakan untuk tempoh dua tahun sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 6:22 AM