Lizam Ridzuan


SEJAK diperkenalkan pada 2014, Perodua Axia sudah terjual lebih 580,000 unit selain sudah melalui dua kali model pembaharuan (MMC) iaitu pada 2017 dan 2019.

Pada 2023, generasi kedua Perodua Axia Serba Baharu dilancarkan bagi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin tinggi.

Projek yang bermula pada Oktober 2019 dengan kod nama D74A melalui tempoh 300,000 jam untuk pembangunan dengan kos sekitar RM546 juta dan pengeluarannya bermula sejak Januari lalu.

Meneruskan ciri kenderaan mampu milik dan praktikal untuk rakyat Malaysia, ia tampil dengan rekaan lebih sporty, ranggi serta aerodinamik.

Ia juga hadir dengan garisan agresif seterusnya menambah ciri elegan model ini.

Paling menarik, model ini juga hasil sentuhan rekaan anak tempatan yang dipantau oleh Daihatsu Motor Corporation, Jepun.

Untuk bahagian hadapan, ia didatangkan dengan lampu LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) bersama fungsi 'follow-me-home'.

Ia juga dilengkapi cermin sisi lipatan automatik dan lampu isyarat lebih jelas, juga daripada LED.

Perodua Axia Serba Baharu ini juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 14 inci.

VERSI aksesori Gear Up.
VERSI aksesori Gear Up.

TIGA pembeli terawal Axia Serba Baharu bersama Zainal Abidin (kiri) dan Asmat (dua dari kiri).
TIGA pembeli terawal Axia Serba Baharu bersama Zainal Abidin (kiri) dan Asmat (dua dari kiri).

AXIA Serba Baharu generasi kedua.
AXIA Serba Baharu generasi kedua.

Ruang kabinnya penuh dengan ciri termaju tema mendatar yang berorientasikan pemandu.

Malah, ia tampil dengan kemasan sporty padanan warna hitam, termasuk krom yang menghiasi beberapa bahagian.

Selain itu, ia juga dipasang dengan sistem infotainmen bersaiz 9 inci dengan skrin sesentuh dan panel meter TFT bersaiz 7 inci, sistem penyaman udara digital selain roda stereng dilengkapi butang fungsi.

Untuk kerusi, ciri 'semi bucket' separuh kulit dan fabrik (AV) menjadikan model ini lebih bergaya.

Ia juga menawarkan ruang dalaman yang fleksibel termasuk pada bahagian kargo dengan ruang muatan sehingga 265 liter.

Untuk dimensi, Perodua Axia Serba Baharu 115 milimeter (mm) lebih panjang, lebar 45mm, tingginya pula kurang 15mm manakala jarak antara roda pula 60mm.

Untuk varian AV, ia seberat 890 kilogram (kg) dan 30kg lebih berat daripada model Axia sebelum ini.

Meskipun saiz ditambah ia masih mengekalkan radius membelok kenderaan 4.5 meter (m).

Ia juga adalah model ketiga selepas Ativa dan Alza yang dibangunkan di atas platform 'Perodua Smart Build' (PSB) dan 'Daihatsu Global New Architecture' (DNGA).

Axia mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE DOHC, EFi dengan DVVT.

Ia mampu menjana 67 kuasa kuda (hp) dan tork 91Nm yang dipadankan dengan transmisi Dwi-Mod CVT (D-CVT) baharu.

Ia menawarkan peningkatan lapan peratus penjimatan bahan api sekitar 23.3 kilometer (km) / untuk setiap liter (L) dengan tangki bahan api mampu memuatkan sehingga 36 liter.

PAPAN pemuka varian AV.
PAPAN pemuka varian AV.

KERUSI semi-bucket.
KERUSI semi-bucket.

Sistem suspensi baharu juga menjadikan perjalanan lebih selesa dan kurang lesu. Ia menggunakan 'low spring rate' bagi menyerap tekanan dengan lebih baik.

Meskipun kereta kompak permulaan, Perodua Axia Serba Baharu didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik terutama untuk varian AV dengan enam beg keselamatan (dua beg keselamatan ciri standard), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Cengkaman, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Bantuan Permulaan Bukit (HSA) sebagai ciri standard.

Varian AV juga didatangkan dengan Bantuan Pemanduan Pintar Perodua menerusi Bantuan Keselamatan Termaju, Bantuan Pemanduan dan Bantuan Parkir.

Perodua Axia Serba Baharu juga menerima penarafan empat bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Kelabu Granite Grey, Merah Lava, Perak Glittering, Putih Ivory (solid) dan Biru Coral (Baharu).

Perodua Axia Serba Baharu dijual pada harga RM38,000 (G), RM40,000 (X), RM44,000 (SE) dan RM49,500 (AV). Semua harga atas jalan tanpa insurans.

Ketika majlis pelancaran, Perodua Axia Serba Baharu turut diserahkan kepada tiga pemilik pertama yang menempah model itu iaitu Lim Ah Beng @ Lim Beng Fatt, Nur Solehah Rozaidi dan Nur Sofiya Mohamad Munshi.

Ia disempurnakan oleh Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:51 AM