Lizam Ridzuan

Hujung tahun lalu, Honda City Hatchback Serba Baharu dilancarkan dan ia bagi menggantikan model Honda Jazz yang tamat pengeluarannya pada 2021.

Model baharu ini mempunyai kelebihan tersendiri daripada segi teknologi dan ruang.

Vroom berpeluang menyertai sesi pandu uji media model City Hatchback yang diadakan di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini anjuran Honda Malaysia.

Untuk pasaran Malaysia, lima varian ditawarkan dan kami berpeluang memandu uji varian V dan RS e:HEV, sebagai yang tertinggi.

Model ini direka berkonsepkan 'Energetic Hatchback' dan penulis menguji varian RS e:HEV terlebih dahulu yang tampil lebih sporty.

Ia diserlahkan dengan gril dan cermin sisi hitam berkilat, kemasan perumah lampu kabus serta lampu nyalaan siang (DRL) automatik dengan lampu utama LED.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi kombinasi lampu LED. Padanan rim aloi bersaiz 16 inci menambah 'cantik' kereta ini.

Ruang dalamannya juga praktikal serta lengkap dengan rekaan terkini.

Papan pemuka kereta ini dilengkapi sistem infotainmen bersaiz lapan inci dan boleh disambung dengan AppleCarPlay dan Android Auto yang turut berfungsi sebagai paparan kamera undur pelbagai sudut.

Pemandu pula menikmati meter TFT bersaiz tujuh inci bagi paparan pelbagai maklumat perjalanan.

CITY Hatchback tawar prestasi dan teknologi.
CITY Hatchback tawar prestasi dan teknologi.

PEMANDUAN ke Gunung Raya, Langkawi.
PEMANDUAN ke Gunung Raya, Langkawi.

Sterengnya bersalut kulit dan dilengkapi pelbagai fungsi termasuk bagi menjawab panggilan telefon. Ia juga datang dengan pedal tangan.

Kerusi fabrik 'ultrasuede' pula selesa dan tampil kemas.

Untuk kenyamanan sepanjang perjalanan, selain penyaman udara automatik, ia juga dilengkapi corong penyaman udara untuk penumpang belakang.

Meskipun hatchback, ia memiliki ruang dalaman yang fleksibel bagi disesuaikan dengan tujuan dan barangan yang ingin dibawa. Butnya pula seluas 289 liter.

Untuk City Hatchback Serba Baharu RS, ia dikuasakan dengan enjin 1.5L Sports Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) DOHC i-VTEC Atkinson Cycle.

Ia dipadankan dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT) menjana 109PS dan tork 253Nm.

Enjin ini mula diperkenalkan untuk Honda City varian RS generasi kelima.

Ia menawarkan gaya pemanduan ciri Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) menerusi bateri lithium-ion yang terletak pada bahagian bawah but.

Ia akan bertukar di antara tiga mod iaitu EV, Hibrid dan enjin pembakaran bahan api (ICE).

Mengelilingi Pulau Langkawi dan menyusur laluan pendakian ke Gunung Raya menguji sistem ini yang secara pintar menukar kuasa dengan baik di antara enjin dan kuasa motor elektrik.

Sistem hibrid dwi-motor termaju yang berfungsi mengikut keperluan dan bergantung kepada corak pemanduan turut menawarkan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Kuasa daripada enjin tidak terus dijana ke roda sebaliknya motor elektrik yang akan menentukan agihan tenaga yang diperlukan.

Meskipun ada 'ngauman' enjin kerana penulis memandu dengan gaya agresif dan menekan pedal kelajuan secara drastik di laluan berselekoh naik ke kemuncak apabila kuasa enjin membantu, namun jika pemanduan biasa, ia tidaklah ke tahap itu.

Ia cukup lancar dan senyap dalam mengalirkan kuasanya terutama ketika menghidupkan enjin.

Malah ketika menuruni laluan dalam keadaan hujan, penulis menggunakan transmisi kedudukan 'B' untuk ia mengecas lebih bateri kepada motor elektrik ketika proses membrek untuk bekalan tenaga yang lebih baik.

RUANG kabin kemasan hitam dan merah.
RUANG kabin kemasan hitam dan merah.

KERUSI penumpang belakang selesa.
KERUSI penumpang belakang selesa.

CIRI Ultra Seat,
CIRI Ultra Seat,

Memintas kenderaan juga mudah dilakukan dengan tork yang responsif (0 ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 9.7 saat).

Ia dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti Honda LaneWatch, Brek Parkir Elektrik (EPB), Penghidup Enjin Kawalan Jauh, Bantuan Permulaan Bukit (HSA) dan enam beg keselamatan SRS.

Model 1.5L RS juga datang dengan Honda Sensing iaitu sistem bantuan pemandu termaju terdiri daripada Kawalan Pelayaran Adaptif ( ACC), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS).

Secara keseluruhannya, Honda City Hatchbak Serba Baharu walaupun kompak, namun ia sesuai untuk kegunaan seharian terutama di kota raya ataupun perjalanan jauh.

Mudah juga untuk melakukan urusan seharian kerana saiznya yang ideal dan dilengkapi pula ciri enjin teknologi termaju menerusi pilihan 1.5L Sports i-MMD e:HEV dan 1.5 DOHC i-VTEC.

Varian RS adalah bayangan rasa pemanduan kenderaan elektrik (EV) pada masa hadapan yang menawarkan harga lebih mampu milik.

Aplikasi Honda Connect juga antara ciri termaju ditawarkan membolehkan pemilik sentiasa berhubung dengan kenderaan untuk ciri keselamatan, kemudahan dan status penyelenggaraan terkini.

Lima pilihan warna untuk 1.5L Petrol ditawarkan iaitu merah, putih, perak, kelabu dan hitam serta tiga untuk 1.5L e:HEV iaitu merah, putih dan kelabu.

Lima varian Honda City Hatchback Serba Baharu ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 1.5L S pada harga RM75,669, 1.5L E (RM83,075), 1.5L V (RM87,856), 1.5L V SENSING (RM91,708) dan 1.5L RS (RM107,783) (atas jalan tanpa insurans selepas pengecualian cukai jualan).

SPESIFIKASI

Honda City Hatchback 1.5L RS

Enjin: 1.5L Sports Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) DOHC i-VTEC Atkinson Cycle

Transmisi: Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT)

Kuasa maksimum: 109PS pada 3,500 hingga 8,000rpm

Tork maksimum: 253Nm pada 0 hingga 3,000rpm

Kuasa motor elektrik maksimum: 300kWh

Ciri keselamatan: Honda LaneWatch, Brek Parkir Elektrik (EPB), Penghidup Enjin Kawalan Jauh, Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Kekal Brek Automatik(ABH), enam beg keselamatan SRS dan Honda Sensing.

Harga: RM107,783 (atas jalan tanpa insurans selepas pengecualian cukai jualan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 6:49 AM