Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-24.

Bertemakan 'Pulang Selamat, Keluargamu Menanti', ia mendapat kerjasama Persatuan Pengedar Skuter dan Motosikal Malaysia (MMSDA) dan Petronas Dagangan Berhad (PDB) untuk lokasi stesen terpilih kempen ini.

Pengarah Kumpulan Industri Hong Leong Industri Datuk Dr Jim Khor berkata, selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya kerana pandemik Covid-19, sudah pasti tahun ini ramai yang mengambil kesempatan untuk melakukannya.

"Keselamatan jalan raya perlu diutamakan dan kempen ini disasarkan kepada penunggang motosikal dengan menyediakan pemeriksaan percuma kepada motosikal tanpa mengira jenama dan model,"

"Selain itu penukaran topi keledar lama kepada yang baru dan pemberian jaket pemantul cahaya juga dilakukan kepada pengguna," katanya ketika merasmikan kempen di stesen Petronas Technology Park Malaysia (TPM) hari ini.

KHOR (tengah) ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-24.
KHOR (tengah) ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-24.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong dan Pengurus Besar Jualan PDB, Patricia Law Lai Peng.

PDB juga menyediakan cenderahati Pakej Coffee Break Petronas kepada pengunjung yang hadir ke kempen selain pemberian barangan daripada penaja yang turut serta sementara stok masih ada.

Selepas stesen Petronas TPM, Kuala Lumpur, Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha akan diteruskan di Petronas Taman Pengkalan Utama, Ipoh, Perak; Kilometer 11 Jalan Skudai, Johor Bahru, Johor, (25 April); Simpang Ampat 2, Pulau Pinang (27 April) serta Pekan, Pahang (27 April).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 12:33 PM