Datuk Dr Jim (empat dari kiri) dan Prof Emeritus Datuk Dr Raduan (lima dari kanan) bersama tetamu khas sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-25 2023 di Shah Alam.
Datuk Dr Jim (empat dari kiri) dan Prof Emeritus Datuk Dr Raduan (lima dari kanan) bersama tetamu khas sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-25 2023 di Shah Alam.
Lizam Ridzuan


Shah Alam: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai pengedar dan pemasang motosikal Yamaha di negara ini melancarkan kempen keselamatan jalan raya menerusi pelancaran Sambutan Jubli Perak Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-25 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries (HLI) , Datuk Dr Jim Khor berkata acara tahunan ini bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi yang mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui jalinan Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) serta Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).

"Kami memilih tema tahun "Kekal Selamat, Terus Bersama" sebagai tanda terima kasih kepada sokongan penaja sepanjang 25 tahun yang menyokong usaha ini dan untuk 2023 menyaksikan penglibatan hampir 200 Pengedar Sah Yamaha yang akan menjalankan Kempen Servis Secara Percuma di seluruh Malaysia," katanya ketika majlis pelancaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) UiTM Shah Alam, Prof. Ir. Ts Dr Haji Mohd Nasir Taib, Pengerusi Persatuan Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Persekitaran (MIROS), Ir. Tr. Dr. Muhammad Marizwan dan Timbalan Ketua Polis, IPD Shah Alam, Superintenden Ramsay anak Embol.

Sebagai anak syarikat kepada HLI, Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial syarikat dalam mempromosikan tunggangan selamat kepada pelanggan.

Ia diharapkan akan memberi inspirasi kepada pemain industri lain bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya secara menyeluruh di negara ini.

Kempen ini turut menekankan kepentingan untuk menyelenggara motosikal, mematuhi had kelajuan selain aktitivi seperti ceramah teknik tunggangan selamat, tunggang uji, penukaran topi keledar baharu dan pemeriksaan asas motosikal.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-25 2023 bakal diadakan di lokasi lain iaitu di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor pada 10 April , Universiti Teknologi Petronas, Perak pada 12 April dan di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 13 April,

Bermula 13 hingga 15 April Kempen Servis Percuma juga diadakan di Pusat Kualiti Servis Yamaha (YQS) dan setiap pelanggan yang menyertai kempen ini berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal Yamaha EZ115 Serba Baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 4:30 PM