DASH125 gaya terkini.
DASH125 gaya terkini.
Lizam Ridzuan


PASARAN moped terutama segmen cub bermula meriah tahun ini dengan pelbagai model baharu mula ditawarkan.

Tidak terkecuali, Boon Siew Honda yang melancarkan Honda Dash125 Baharu dengan ciri yang dipertingkatkan.

Sejak diperkenalkan pada 2018, ini adalah model pembaharuan kali ketiga yang ditawarkan.

Ia pasti menjadi pilihan buat mereka yang mahukan moped dengan enjin lasak, lengkap ciri keselamatan serta penggunaan bahan api efisien.

Untuk 2022, antara yang terkini ialah rekaan grafik bergaris baharu untuk tampil dengan gaya segar.

Reka bentuk hadapan Dash125 juga didatangkan dengan visor baharu berciri aerodinamik selain pemegang penutup untuk lebih selesa sama ada bagi laluan dalam bandar atau lebuh raya.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan LED untuk pencahayaan lebih jelas pada sebarang cuaca serta meter baharu.

TAMPIL corak baharu.
TAMPIL corak baharu.

PANEL meter baharu.
PANEL meter baharu.

Bagi elemen keselamatan, ia didatangkan dengan brek cakera hadapan dan belakang.

Tiga warna baharu turut diperkenalkan iaitu merah Candy Scintillat, biru Pearl Nightfall dan kuning Clipper.

Jentera ini dikuasakan dengan enjin 124.9cc, satu silinder, sejukan udara, SOHC, suntikan bahan api PGM-Fi dengan janaan 9.85hp pada 8,000rpm dan Tork 9.54Nm pada 6,500rpm.

Ia turut menghasilkan emisi rendah dan mesra alam yang mematuhi tahap piawaian alam sekitar Euro4 dan menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ciri lain kekal seperti sebelumnya dengan suspensi hadapan teleskopik dan suspensi belakang boleh laras pra-beban, tayar hadapan tanpa tiub bersaiz 70/90-17 dan tayar belakang bersaiz 80/90-17.

Ia juga dilengkapi transmisi klac automatik empat kelajuan, penghidup enjin elektrik dan tendang manakala berat keseluruhan jentera ialah 105 kilogram.

Tangki bahan api empat liter pula mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 67.7km untuk setiap liter.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Dash125 Baharu ini dijual pada harga RM6,449 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:43 AM