Lizam Ridzuan


Model ini diperkenalkan ke pasaran tempatan sekitar 2008 dan selepas 13 tahun, ia menjengah kembali ke Malaysia.

Honda CBR150R Baharu ini kini tampil dengan rekaan yang lebih sporty dengan ciri-ciri seakan-akan motosikal berkuasa tinggi.

Vroom berpeluang menunggang ujinya baru-baru ini bagi menilai prestasi dan kesesuaiannya untuk golongan sasar.

Melihat kepada reka bentuk, ia menampilkan ciri sporty dan agresif dengan lampu hadapan dwi-LED dan lampu nyalaan siang (DRL) untuk mudah dilihat pada siang atau malam hari.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi dengan padanan lampu LED dua bahagian dengan lampu membelok terpisah.

Selain itu, ia turut dilengkapi meter digital penuh.

Rekaan fairing yang kemas juga membolehkan aliran angin lebih baik untuk elemen aerodinamik.

Jentera ini datang dengan fork telesopik terbalik dengan brek cakera tunggal hadapan.

REKAAN ciri agresif.
REKAAN ciri agresif.

Bahagian depan dan belakang pula dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci dua saluran.

Sesuai dengan gaya prestasi, lengan hayun belakang dilengkapi sistem 'Monoshock Pro-Link' terkini bagi disesuaikan dengan corak dan berat ketika menunggang.

Rekaan ekzos juga mirip model awal CBR. Ia menyerlahkan gaya keseluruhan dengan bunyi standard yang mesra alam.

Untuk prestasi, ia didatangkan dengan DNA CBR 'Total Control' menerusi enjin 149.2cc sejukan cecair, DOHC, empat lejang silinder tunggal yang menjana 16 kuasa kuda (hp) pada 9,000rpm dan tork maksimum 13.7Nm pada 7,000rpm.

POSISI menunggang selesa.
POSISI menunggang selesa.

Untuk kelancaran gear manual enam kelajuan, ia juga dilengkapi klac 'Assist' dan 'Slipper' bagi tukaran gear lebih pantas serta responsif.

Penulis mencubanya di laluan bandar pada waktu puncak dan tunggangan di celah kesibukan kota mudah dilakukan kerana saiznya yang tidak terlalu besar dengan berat sekitar 139 kilogram.

Di lebuh raya, ia meluncur dengan baik pada kelajuan konsisten. Kelajuan maksimumnya sekitar 125 hingga 130 kilometer/sejam (km/j).

Malah, ketika 'melayan' selekoh, ia menawarkan pengendalian stabil dengan kerangka 'diamond' dan posisi menunggang yang tidak terlalu 'menduduk'.

CIRI aerodinamik dan sporty.
CIRI aerodinamik dan sporty.

Jentera ini juga sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Ia dilengkapi rim bersaiz 17 inci dengan tayar tanpa tiub hadapan bersaiz 100/80 manakala tayar belakang pula bersiaz 130/70.

Suntikan bahan api dengan PGM-Fi menawarkan penggunaan petrol efisien.

Melalui ujian World Motorcycle Test Cycle (WMTC) jentera ini mencatatkan penggunan bahan api sekitar 39km/liter yang mampu menjangkau jarak sehingga 468km.

Tangki bahan api motosikal ini boleh memuatkan 12 liter.

MONOSCHOK Pro Link.
MONOSCHOK Pro Link.

Secara keseluruhan, CBR150R ini adalah jentera kapasiti rendah bercirikan sport bike gaya perlumbaan.

Sesuai buat penunggang baharu atau mereka yang mahu menaik taraf daripada motosikal moped, jentera ini sesuai bagi menambah kemahiran menunggang.

Selain prestasi dalam kelasnya, ia juga didatangkan dengan sistem keselamatan terbaik dengan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan ABS untuk membrek.

GAYA jentera berkuasa tinggi.
GAYA jentera berkuasa tinggi.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu 'Mat Charcoal Grey Metalik' dan 'Candy Scintillate Red'.

Jentera pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga RM12,499 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun daripada pengeluar atau 20,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:00 AM