YASUDA (dua dari kiri) dan Zaqhwan  (dua dari kanan) ketika pelancaran.
YASUDA (dua dari kiri) dan Zaqhwan (dua dari kanan) ketika pelancaran.
Lizam Ridzuan

Penampilan lebih dinamik dan sporty ditawarkan untuk motosikal cub Honda Dash 125 serba baharu yang kini dipertingkatkan kuasa enjinnya daripada 110cc kepada 125cc.

Dilancarkan Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH), Dash kini hadir dengan enjin satu silinder penyejukan udara, SOHC dengan suntikan bahan api PGM-FI serta muatan tangki bahan api empat liter.

Enjin terbaru itu mampu menjana 9.9 kuasa kuda (hp) pada 8,000rpm dan 9.54Nm pada 6,500rpm.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Keiichi Yasuda, berkata motosikal cub berkapasiti lebih besar berkembang dengan baik dan semakin kompetetif untuk pasaran tempatan.

“Dash 125 penanda aras lebih tinggi untuk segmen cub dalam memenuhi keperluan dan pemintaan pembeli dengan harga dan ciri berbaloi,” katanya ketika majlis pelancaran.

Hadir sama, pelumba motosikal Asia Road Racing Championship (ARRC), Zaqhwan Zaidi yang dilantik sebagai duta Dash 125.

Model diperkenalkan ke pasaran tempatan sejak tujuh tahun lalu kini menawarkan tunggangan lebih berprestasi dan selesa dengan rekaan bergaya.

REKAAN meter baru dan moden.
REKAAN meter baru dan moden.

Model itu juga dilengkapi lampu hadapan LED untuk lebih terang terutama ketika perjalanan malam, pelindung kaki dengan grafik garang dan menyerlah selain jalur rim bergaya berwarna terang.

Ia juga hadir dengan cermin sisi rekaan yang seiring dengan motosikal dan meter serba baharu memaparkan kelajuan, odometer, tahap bahan api dan kedudukan gear dan lampu isyarat membelok.

Suspensi hadapan teleskopik dan belakang berkembar, brek cakera hidraulik hadapan dan belakang atau mekanikal dram (varian S) dengan penghidup elektrik dan tendang serta transmisi kotak gear empat kelajuan klac automatik basah adalah ciri terkini Dash 125.

Empat warna ditawarkan iaitu hitam, merah, biru dan edisi Repsol dengan tiga varian antaranya brek cakera tunggal, brek cakera berkembar dan brek cakera berkembar edisi Repsol.

Dijual pada harga RM5,999 (brek cakera tunggal), RM6,299 (brek cakera berkembar) dan RM6,499 (brek cakera berkembar Edisi Repsol), semua varian ini hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dulu.

BAHAGIAN belakang tampil sporty.
BAHAGIAN belakang tampil sporty.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:05 AM