HURJET akan dibina di Malaysia jika tender dimenangi syarikat dari Turki.
HURJET akan dibina di Malaysia jika tender dimenangi syarikat dari Turki.
BERNAMA

Cyberjaya: Turki merancang mengeluarkan jet 'Hurjet' dengan Malaysia jika proses tender berjaya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil.

Beliau berkata, ini sebagai usaha untuk mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.

Menurut Kotil, perkara itu masih dalam proses tender oleh Malaysia.

Jika tender berjaya, katanya, 15 Hurjet akan dihasilkan di Malaysia dan tiga lagi di Turki.

"Kami mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik," katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian pejabat Aeroangkasa Turki di kampus Cyberview Futurise di sini.

Hurjet ialah pesawat Advanced Jet Trainer dan Light Attack Aircraft. Pesawat pertama dijangka siap pada suku akhir 2022.

Malaysia akan terbabit dalam pembinaan Hurjet jika tender ini berjaya. Ia pasti memberi banyak peluang kerja serta pemindahan teknologi.

Bagaimanapun, bukan Turki saja yang memasuki tender bagi pembekalan pesawat latihan lanjutan bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini malah saingannya antaranya membabitkan China, Korea serta Russia.

Apa yang pasti, keupayaan TUDM akan meningkat hasil perolehan pesawat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 11:56 PM