Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang: Penilaian fizikal dan rundingan harga bagi perolehan 36 pesawat tempur ringan (LCA) sudah selesai dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, laporan penuh berhubung perolehan aset itu sudah diterima Kementerian Pertahanan.

"Rundingan harga dengan petender yang disyorkan sendiri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah selesai, tunggu apa diputuskan oleh Kementerian Kewangan.

"Ini janji saya kepada TUDM, memang kita perlukan LCA dan percaya ia tidak akan timbul masalah sekiranya saya guna kaedah sebelum ini iaitu aset yang ditentukan oleh 'end user' sendiri," katanya pada sidang media di Pangkalan TUDM Subang di sini, hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri Majlis Pemakaian Beret, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran kumpulan pertama Pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt 850-10) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affandi Buang.

HISHAMMUDDIN menyarungkan topi beret pertubuhan bersatu dan medal kepada Kolonel Mohd Rizman Haji Ramli selaku Komander. FOTO Genes Gulitah
HISHAMMUDDIN menyarungkan topi beret pertubuhan bersatu dan medal kepada Kolonel Mohd Rizman Haji Ramli selaku Komander. FOTO Genes Gulitah

Mengulas berhubung tiada lawatan evaluasi yang dibangkitkan petender, Hishammuddin berkata, perkara seperti ini akan dibangkitkan terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kalau nak cari salah, memang akan nampak semua aset dan proses akan dipertikaikan.

"Kalau ingin menuduh perlu sertakan bukti, kalau salah tetap salah jadi panjangkan bukti kepada agensi berkaitan biar mereka siasat," katanya.

Sebelum ini, sejumlah lapan syarikat antarabangsa dilaporkan membida tender pembekalan 36 jet LCA TUDM setakat ini.

Tender terbuka berkenaan telah dilancarkan oleh Kementerian Pertahanan sejak 22 Jun dan ditutup pada 22 September tahun lalu.

Perolehan itu bakal menggantikan lima jet LCA dua kerusi model BAE System Hawk Mk 108 dan 13 model Mk 208 kerusi tunggal buatan Britain yang digunakan lebih sedekad lalu.

Malahan langkah berkenaan turut membabitkan penggantian tujuh buah jet latihan penggempur (FLIT) model Aermacchi MB-339CM buatan Itali yang ketika ini ditempatkan di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 1:18 PM