Lizam Ridzuan


MOTO Guzzi V85 TT yang menampilkan rekaan lasak dengan ciri elemen klasik dilancarkan untuk pasaran tempatan, baru-baru ini.

Dijana enjin 853cc V Twin sejukan udara, ia menyalurkan kuasa kuda 80hp dan tork 80Nm dengan tiga mod tunggangan iaitu ‘Road’, ‘Rain’ dan ‘Off-road’.

Pengerusi DiDi Resources Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi motosikal jenama Moto Guzzi di Malaysia, Rewi Hamid Bugo berkata, motosikal dari Itali itu berkonsepkan pengembaraan.

“Ia penuh dengan ciri sentuhan rekaan klasik serta teknologi moden selain posisi menunggang yang selesa.

“Malaysia memiliki rangkaian jalan raya yang baik serta sesuai untuk penunggang menjelajah ke lokasi menarik.


“Motosikal ini sesuai dengan tujuan berkenaan menerusi prestasi enjin yang efisien. Satu tangki penuh 23 liter mampu menjangkau jarak sehingga 400 kilometer (km),” katanya pada pelancaran motosikal berkenaan di Janda Baik, Pahang.

Antara ciri lain V85 TT ialah pacuan shaft, sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang boleh dinyahfungsikan, brek cakera dengan angkup Brembo serta fungsi pelayaran automatik.

Pada masa sama, wakil media juga diberi peluang melakukan tunggang uji di laluan off-road berdekatan bagi merasai pengalaman menunggang jentera itu.

Moto Guzzi V85 TT untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian. V85 TT pada harga RM87,888 manakala V85 TT dengan ‘Evocative Graphics’ RM89,888.

Untuk tempoh promosi unit terhad, ia dijual pada harga bermula RM79,888 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:05 AM