LELAKI didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
LELAKI didakwa selepas membunuh anak kandungnya berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Bangi: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak kandung lelakinya berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohamad Aizat Samin, 25, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

"Faham," katanya ringkas.

Dalam prosiding itu, kelihatan isteri tertuduh yang berada di galeri awam menangis sebaik melihat suaminya didakwa.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pengawal keselamatan itu didakwa membunuh Muhammad Aysar Wildan Mohamad Aizat yang berusia enam bulan di sebuah unit Pangsapuri Baiduri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada 14 April lalu antara jam 8 malam hingga 7.40 pagi, 15 April lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh untuk laporan kimia, toksikologi dan forensik tempat kejadian manakala tertuduh diwakili peguam Arif Azmi.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, dalam kejadian pada jam 8 malam itu, bayi malang itu dipercayai dipukul, kepala dihentak pada sofa selain mulutnya disumbat dengan kain dan badan dibedung serta ditinggalkan tertiarap dalam bilik gelap tanpa pengawasan sebelum ditemukan meninggal dunia.

Ketika kejadian isteri dan anak sulung mereka yang berusia dua tahun ke rumah keluarga mentua, manakala suami tinggal bersama mangsa di kediaman mereka.

Perkara itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit oleh Pakar Forensik Hospital Kajang mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepalanya.

Berikutan itu, polis menahan suspek di pekarangan Unit Forensik hospital berkenaan pada jam 11.30 malam hari sama.

Suspek yang positif dadah jenis syabu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 10:35 AM