Ridzuan Abdul Rahman


KEMUNCULAN kumpulan Spider menerusi Konsert 3 Generasi bersama XPDC dan Hujan pada Ogos 2022 sememangnya dinantikan peminat setia mereka yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur ketika itu.

Bagaimanapun, tempoh persembahan singkat sekitar 45 minit dirasakan tidak mencukupi untuk Spider tampil mempersembahkan lagu popular yang menjadi siulan peminat.

Ramai meminta kumpulan dianggotai Tam (penyanyi), Pown (gitar), Eiz (bass) dan Aie (dram) ini tampil dengan satu konsert solo yang lebih besar dan eksklusif.

Harapan mereka akhirnya menjadi kenyataan apabila Spider mengumumkan akan tampil dengan konsert Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024.

Berita ini semestinya ditunggu-tunggu bukan hanya dalam kalangan peminat Spider, tetapi peminat kugiran rock dan ska tanah air sendiri.

Tam berkata, Spider dan penganjur, IFIX Entertainment sepakat memilih tarikh 22 Jun depan untuk mengadakan konsert ini di Zepp Kuala Lumpur.

"Kami sebenarnya dah sekian lama mengidamkan sebuah konsert solo dan persetujuan antara Spider serta IFIX Entertainment dapat dicapai dengan baik kerana konsep dan misi yang dibawa.

"Selepas banyak terbabit dengan persembahan di festival atau 'gig' kecil usai pandemik, Spider melihat ini adalah masa yang tepat untuk kami 'keluar sarang'.

"Konsep 'keluar sarang' yang dicapai bersama IFIX Entertainment menjadi pertaruhan kami kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.

"Tentu saja Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan," katanya.

Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan menjadi saksi tafsiran lagu terbaik mereka seperti Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Aladdin, Laukku Cukup Masin dan Nazraku pada konsert itu nanti.

Malah peminat tentu membayangkan kelincahan pemenang Anugerah Juara Lagu 2004 menerusi lagu Relaku Pujuk ini dengan lagu yang akan dipersembahkan sudah cukup membuat peminat teruja.

Tambahan pula, kugiran yang diasaskan di Johor Bahru ini bukan nama baharu dalam industri muzik kita.

Spider adalah salah satu kugiran legenda tanah air yang penuh karya sinis dalam stail tersendiri. Spider tampil dengan album termasuk yang pertama, Ngam Ho dan terakhir, Ankabut pada 2016 sudah mencetak pelbagai sejarah, sekali gus menjadi kugiran rujukan sepanjang hampir 30 tahun berkarier.

"Kami menyifatkan konsert ini sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat Spider 'keluar sarang'," kata Tam lagi.

SPIDER menyifatkan Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama peminat.
SPIDER menyifatkan Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama peminat.

Pihak IFIX Entertainment pula optimis konsert ini bakal mencipta sensasi tersendiri di sebalik penggeraknya.

"Secara jujurnya pihak IFIX Entertainment sudah lama mengikuti perjalanan karier Spider. Mereka adalah kugiran legenda yang bukan hanya memberi hiburan kosong, tetapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.

"Karya yang dilahirkan Spider cukup tersendiri menjadikan mereka sebagai kugiran rujukan buat generasi masa kini yang mahu mencipta aliran muzik seumpama Spider.

"Walaupun sepanjang hampir 30 tahun Spider hanya memiliki enam album studio penuh, tapi daripada setiap album yang terhasil, mereka punya banyak hit atau lagu popular yang diminati ramai," kata IFIX Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:00 AM