KERISPATIH tidak sabar untuk menghiburkan peminat di Malaysia.
KERISPATIH tidak sabar untuk menghiburkan peminat di Malaysia.
Ramlah Zainal


KALI terakhir kumpulan popular dari Indonesia, Kerispatih mengadakan persembahan di negara ini ialah kira-kira 18 tahun lalu.

Selepas sekian lama, akhirnya penantian peminat setia kumpulan ini terubat apabila mereka bakal beraksi sempena konsert Moments Of Kerispatih With Sammy Simorangkir yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Februari depan.

Konsert berdurasi dua jam ini akan dibawakan tiga penganjur iaitu 4ward, Tiger Wong Entertainment dan MHT Live.

Apa yang istimewa, konsert ini bakal menggabungkan semula Kerispatih, penyanyi baharu, Fandy Santoso bersama bekas penyanyinya, Sammy Simorangkir berkongsi satu pentas.

Fandy berkata, mereka dan Sammy sudah lama menanti peluang untuk menghiburkan peminat di Malaysia yang juga penyokong kuat mereka sejak dulu.

"Kami yakin untuk mengadakan konsert di Malaysia kerana sokongan padu daripada peminat di sini. Apa yang kami janjikan, konsert ini akan mengembalikan nostalgia buat peminat," katanya dalam sidang media, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif 4ward, Nashrul Nasir dan penganjur bersama, Tiger Wong Entertainment, Baim Wong.

Fandy berkata, mereka akan menyampaikan rangkaian 20 lagu popular Kerispatih dan Sammy khusus buat mengubat kerinduan peminat setianya di sini.

Antaranya ialah Untuk Pertama Kali, Bila Rasaku Ini Rasamu, Aku Harus Jujur dan single terbaharu, Pernah Terluka.

SAMMY kembali bekerjasama dengan Kerispatih.
SAMMY kembali bekerjasama dengan Kerispatih.

Fandy berkata, peminat juga boleh memilih lagu kegemaran mereka untuk dinyanyikan pada konsert itu.

"Jika ada peminat yang ingin kami menyampaikan lagu kegemaran mereka, boleh tinggalkan komen di Instagram @momentsofmusic supaya kami boleh pertimbangkan lagu itu nanti.

"Konsert ini hanya berlangsung satu malam dengan rangkaian lagu popular yang disampaikan, kami mahu peminat pulang bersama nostalgia terbaik," katanya.

Mengulas hubungan Kerispatih dan Sammy, Fandy berkata, mereka tidak ada masalah kerana Sammy juga keluar secara baik dari kumpulan itu.

Berkongsi strategi mereka untuk kekal relevan dalam industri muzik, Fandy berkata, mereka perlu terus berkarya dan menghasilkan karya yang jujur buat peminat.

"Karya yang jujur perlu lahir dari hati. Kami akui persaingan dari kumpulan lain cukup besar di Indonesia tetapi setiap kumpulan ada kelebihan dan tarikan tersendiri dan peminat pun ada band kegemaran mereka," katanya.

Kerispatih mula mencipta nama menerusi lagu Kejujuran Hati pada 2005. Album kedua, Kenyataan Perasaan pula meraih Anugerah Platinum pada 2007.

Namun, kumpulan ini berpecah apabila Sammy keluar dari Kerispatih. Ia disusuli dengan kehilangan pemain bass kumpulan ini, Andika yang meninggal dunia akibat diabetes pada 2018.

Bagaimanapun, Kerispatih tidak patah semangat dan meneruskan perjuangan muzik mereka menerusi penyanyi baru, Fandy dan dua anggota iaitu Anton dan Arief.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 6:45 AM