Ridzuan Abdul Rahman

Ketika filem pecah panggung Legenda Budak Setan ditayangkan pada 2010, Mimi Lana, 26, masih bersekolah.

Bagaimanapun, siapa sangka selepas 11 tahun, dia akhirnya digandingkan dengan Farid Kamil, hero filem terbabit yang menjadi kegilaan peminat ketika itu.

Gandingan mereka sebagai pasangan kekasih dapat disaksikan menerusi drama bersiri Masih Ada Rindu yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 bermula kelmarin, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

"Sememangnya saya tak pernah terfikir nak digandingkan berlakon dengan Farid. Dah tentu saya teruja kerana saya salah seorang peminatnya juga.

"Paling utama, Farid salah seorang pelakon filem yang jarang berlakon drama TV. Jadi gandingan kami ibaratnya satu penghargaan.

"Apabila berlakon bersama, banyak perkara baharu yang saya boleh belajar dan ambil tahu," katanya.

Menerusi drama arahan Osman Ali itu, Mimi melakonkan watak Syafika, manakala Farid pula membawa dua watak iaitu Hakim dan kembarnya Hadi.

Menurutnya, ini pengalaman pertamanya bekerja di bawah arahan Osman serta berlakon dengan pelakon lain kecuali Aliza Shadan.

"Saya bersyukur kerana penggambaran lancar dan sangat bagus. Diakui dalam situasi pandemik Covid-19 ini agak susah untuk penggambaran kerana banyak kekangan.

"Namun, saya lega kerana berjaya juga menghabiskan 45 hari penggambaran yang selesai seminggu sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) yang bermula Selasa lalu.

"Saya suka bekerja dengan Osman kerana dia sangat menitik beratkan persembahan pelakon dan set," katanya.

MIMI anggap lakonan dengan Farid satu penghargaan.
MIMI anggap lakonan dengan Farid satu penghargaan.

Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata, Farid pula sangat mudah bekerjasama dan profesional ketika bekerja.

"Dia jenis orang yang tak banyak kerenah. Dia bercakap hanya ketika bekerja. Selebihnya dia seorang yang serius.

"Farid banyak duduk sendirian dan buat hal sendiri. Sebagai pelakon, dengan siapa pun saya berlakon, saya kena 'study' siapa pasangan saya dan tak boleh ramalkan sifatnya.

"Tapi, sebelum penggambaran kami sudah berjumpa di sesi bacaan skrip dan dari situ saya mula kenal sisi Farid. Dari mula kami kerja sehingga habis memang tiada masalah," katanya.

Mengulas keserasian gandingan mereka, Mimi menyerahkan kepada penonton untuk menilai sendiri.

"Susah nak cakap gandingan kami okay atau sebaliknya kerana masing-masing ada pilihan sendiri. Tapi, apa yang saya boleh kata ini adalah persembahan yang terbaik dari kami.

"Kami sangat profesional di lokasi. Saya sangat bertuah digandingkan dengan dia. Tiada isu babak romantis kerana kami hanya menjalankan tanggungjawab masing-masing. Apapun peminat kena tonton dahulu cerita ini kemudian baru boleh menilai kemesraan kami," katanya.

Masih ada rezeki

Mimi bersyukur walaupun dibayangi pandemik Covid-19, rezekinya masih ada dalam lakonan.

Bagaimanapun seperti artis lain, banyak tawaran berlakon yang ditangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan terbaharu, SPP.

"Syukur kerana setakat ini saya masih boleh makan dan ada kemudahan tempat tinggal yang sempurna.

BABAK romantis Mimi dan Farid dalam Masih Ada Rindu.
BABAK romantis Mimi dan Farid dalam Masih Ada Rindu.

"Walaupun kena duduk rumah, saya masih aktif dengan media sosial kerana ada kontrak dengan beberapa produk terkenal. Jadi, saya kena sentiasa buat hantaran.

"Jika ditanya berkenaan watak lakonan pula, saya akan ambil berdasarkan watak yang dikehendaki," katanya.

Menurutnya, tanpa mengira sama ada watak heroin atau sebaliknya, dia akan terima jika menyukainya.

"Saya tak kisah walau buat satu atau dua babak. Lagipun saya sedar saya masih baharu dan kena belajar banyak lagi. Banyak watak yang saya nak terokai dan buat.

"Saya teringin nak buat cerita aksi dan genre biopik. Dulu ada permintaan untuk genre begini, tapi sekarang berkurangan. Tapi, saya percaya dari hari ke hari akan ada pembaharuan. Setiap yang ada dalam industri pun ada pembaharuan. Apapun doakan supaya Covid-19 pulih sepenuhnya untuk kita bergerak semula," katanya.

Menyentuh mengenai pandemik Covid-19, Mimi turut prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik.

"Saya tak menafikan dapat banyak mesej meminta bantuan. Apapun saya pilih pendekatan sorokkan tangan kiri.

"Biar pertolongan itu ikhlas dan bukan untuk digembar-gemburkan," katanya yang seronok menjalani kehidupannya sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:00 AM