SYAFIQ tak anggap populariti boleh menurun apabila kongsi hal peribadi babitkan cinta.
SYAFIQ tak anggap populariti boleh menurun apabila kongsi hal peribadi babitkan cinta.
Rudy Imran Shamsudin


ARTIS dikhuatiri hilang populariti apabila mereka mula berkongsi mengenai hal peribadi terutama membabitkan cinta dan kekasih hati.

Apatah lagi sekiranya hal cinta itu membabitkan artis lelaki, peminat wanita akan mula menjauh­kan diri dan tidak lagi berminat mengikuti perkembangan seni mereka.

Walaupun hubungan cintanya dengan pelakon wanita semakin mencipta nama, Mimi Lana sudah dapat dihidu umum beberapa tahun lalu, baru sekarang pelakon popular Syafiq Kyle mengakui dan berkongsi akan hubungan terjalin.

Ditanya mengenai tindakannya mula bersikap terbuka mengenai perihal cinta dan memuat naik gambar bersama Lana di laman sosial, Syafiq tidak bersetuju mengenai sesetengah pendapat yang mengatakan ‘saham’ atau populariti seseorang artis itu akan mulai menurun sekiranya mereka secara terbuka mengakui sudah mempunyai kekasih hati.

Syafiq berkata, keba­nyakan peminat zaman sekarang meminati seseorang artis itu dari pelbagai sudut dan tidak hanya bergantung kepada perihal peribadi semata-mata.

“Rasanya kebanyakan peminat menggemari saya kerana kualiti lakonan yang baik yang diusahakan untuk mereka. Tidak dinafikan ada juga yang minat kerana fizikal.

“Atau mungkin juga ada peminat mengenali dan meminati selepas berlaku sesuatu yang sensasi terhadap diri saya. “Sejujurnya kalau hendak menyatakan mengenai perkara ini saya sendiri kurang pasti. Bagaimanapun, apa saya nampak, peminat yang masih setia adalah mereka yang gemarkan lakonan saya. Merekalah yang masih ada dengan saya,” katanya.

Kata pelakon yang popular menerusi drama bersiri Nur dan Nur 2 ini, mereka yang meminatinya sejak dulu adalah peminat berkualiti.

Pada masa sama, Syafiq tidak menafikan mereka yang meminatinya juga turut meminati artis lain.

Bintang yang kini muncul menerusi drama bersiri, Bukan Cinta Aku di samping Janna Nick dan Baim Wong turut menjelaskan, apa yang lebih penting adalah peminat yang mempunyai kualiti tersendiri.

“Saya ambil contoh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kenapa orang kata dia nombor satu? Sebab dia ada kualiti dan begitu juga dengan peminat yang meminatinya kerana bakatnya dan bukan hal berkaitan peribadi.

“Jadi saya mengharap­kan peminat meminati kerana kerja yang saya persembahkan. Bagaimanapun, seandainya ada peminat yang mahu tahu perihal peribadi seperti siapakah kekasih saya, rasanya perlu juga berikan kerjasama dan berkongsi dengan mereka,” katanya

Bagaimanapun, tegas Syafiq, apa yang boleh dikongsi mengenai kisah peribadi tidaklah lebih mahupun keterlaluan. Dia juga tidak akan menjaja perihal peribadi semata-mata untuk menarik perhatian umum.

Mimi Lana turut terbabit dalam drama dibintangi Syafiq Bukan Cinta Aku, melakonkan watak Qisha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 4:30 AM