MOHD Rizuan tidak memikirkan persiapan menyambut Aidilfitri kerana runsing memikirkan cara mendapatkan dana untuk pembedahahan akibat barah otak dihidapinya. FOTO Ihsan Mohd Rizuan Rosley
MOHD Rizuan tidak memikirkan persiapan menyambut Aidilfitri kerana runsing memikirkan cara mendapatkan dana untuk pembedahahan akibat barah otak dihidapinya. FOTO Ihsan Mohd Rizuan Rosley
Redzuan Muharam

Sungai Petani: "Kalau ada rezeki, saya mahu gembirakan emak dan adik-adik dengan belikan baju raya serta keperluan lain kerana mereka lebih penting. Tapi apakan daya saya tak sihat dan bukan orang senang untuk buat mereka tersenyum."

Begitu luahan Mohd Rizuan Rosley, 33, ketika menceritakan persiapannya menyambut Aidilfitri dalam keadaan dirinya yang diuji dengan barah otak.

Menurut Mohd Rizuan, sebelum ini, dia mampu mengetepikan sakitnya dengan bekerja di sebuah kedai peranti elektronik.

Bagaimanapun, Mohd Rizuan terpaksa mengambil cuti kerana tahap kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini dan lebih merunsingkan dia adalah memikirkan bagaimana mendapatkan wang kerana disyorkan menjalani pembedahan yang dianggarkan menelan kos tinggi.

"Barah saya kini sudah tahap tiga jadi kena banyak berehat.

"Saya pun tak boleh tertekan dan terlalu banyak fikir, jadi ambil cuti dulu untuk sementara waktu.

"Doktor syorkan jalani pembedahan cuma belum ada tarikh dan ikutkan, memang ada risiko. Cuma kalau tak buat keadaan saya boleh jadi lebih teruk tapi masalah saya adalah kos kerana dengarnya tinggi juga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Rizuan berharap, ada keajaiban buatnya terutama dalam Ramadan tahun ini dan dia sentiasa berdoa semoga Allah SWT beri peluang untuknya kembali sihat seperti dulu.

"Persiapan raya tak ada apa sangat kerana sejak kebelakangan ini pun kerap demam.

"Jadi tak fikir sangat soal raya walaupun lagi dua minggu nak menyambutnya.

"Apa saya fikir dan runsing adalah duit untuk rawatan kerana jika penyakit melarat, macam mana nak kerja tanggung keluarga kerana saya anak sulung," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubunginya di talian 013-6509195.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 5:47 PM