MUHAMMAD Annuar Rosley ketika koma di hopsital Disember lalu. (kiri) Keadaannya selepas sedar daripada koma sebelum ini. FOTO Ihsan Muhammad Annuar Rosley
MUHAMMAD Annuar Rosley ketika koma di hopsital Disember lalu. (kiri) Keadaannya selepas sedar daripada koma sebelum ini. FOTO Ihsan Muhammad Annuar Rosley
Redzuan Muharam

Sungai Petani: "Keadaan kesihatan saya agak teruk dan mata kiri pun jadi semakin kelabu dengan penglihatan pun samar- samar saja,"

Demikian kata Muhammad Annuar Rosley, 29, ketika diminta berkongsi perkembangannya yang menderita akibat barah otak.

Menurut Muhammad Annuar, tiada apa yang dilakukan kini melainkan berehat, makan ubat dan tidur kerana keadaannya yang lumpuh.

"Ikutkan, saya kena buat pembedahan pada tempurung kepala tapi tunda dulu jadi buat masa sekarang bergantung dengan rawatan di hospital serta ubat dibekalkan doktor.

"Badan saya sangat lemah kerana penyakit dihidapi dan bertambah lesu kerana kerap demam sejak kebelakangan ini.

"Mata kanan buta manakala yang kiri pula makin samar dan bimbang juga andai tak dapat melihat sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Annuar berkata, buat masa ini, dia bergantung dengan elaun bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Jumlah itu memang tak cukup kerana bukan hanya perlu makan malah saya perlu gunakan wang untuk beli susu dan lampin pakai buang.

"Abang sulung kerja tapi pendapatannya tidak seberapa manakala adik beradik lain sudah berkahwin dan masih bersekolah.

"Jadi, itu yang membuatkan saya buntu dan berharap orang di luar sana dapat membantu supaya saya dapat membeli keperluan kerana bimbang jika terputus bekalan susu serta lampin pakai buang," katanya yang menetap di Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong, di sini.

Terdahulu, laporan muka depan Harian Metro melaporkan kisah penderitaan Muhammad Annuar yang buta mata kanan selain menghidap barah.

Dia turut berkongsi derita dengan abang sulung, Mohd Rizuan Rosley, 33, yang menghidap barah tahap dua dan mengenepikan sakit ditanggung dengan berkorban mencari rezeki menyara keluarga.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0211641100045613 atas nama Muhammad Annuar Rosley.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 6:28 PM